Konvensyen Kerajaan Perpaduan: Pimpinan Wanita Tekad Fokus Agenda Ekonomi, Pembinaan Negara Bangsa

KUALA LUMPUR, 27 April – Mesyuarat Perundingan Pimpinan Wanita Kerajaan Perpaduan kali pertama hari ini telah memuktamadkan pengisian Konvensyen Wanita Perpaduan dengan fokus kepada agenda ekonomi, pembinaan negara bangsa dan peranan wanita dalam konteks Malaysia Madani.

Menerusi satu kenyataan, mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Pengerusi Wanita Pakatan Harapan (PH), YB Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu itu diadakan untuk memperkukuh kolaborasi serta membina rangkaian kerja wanita merentas parti.

“Pada hari ini telah diadakan Mesyuarat Perundingan Pimpinan Wanita Kerajaan Perpaduan yang pertama bertempat di Bilik Mesyuarat Sekretariat Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan, Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

“Mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Pengerusi Wanita PH, YB Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu diadakan untuk memperkukuh kolaborasi dan membina rangkaian kerja wanita merentas parti.

“Turut hadir dalam mesyuarat pada hari ini adalah Ketua-Ketua Wanita Parti Komponen dalam PH dan BN,” katanya.

Jelas kenyataan tersebut, Majlis Perundingan Pimpinan Wanita Kerajaan Perpaduan turut akan menganjurkan Konvensyen Wanita Perpaduan di sebelah pagi bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Bersempena dengan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia yang akan diadakan pada 14 Mei 2023, Majlis Perundingan Pimpinan Wanita Kerajaan Perpaduan akan turut menganjurkan Konvensyen Wanita Perpaduan di sebelah pagi bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Konvensyen Wanita Perpaduan akan turut menggunakan tema yang sama iaitu ‘Malaysia Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia’ dengan memfokuskan kepada agenda ekonomi, pembinaan negara bangsa dan peranan wanita dalam konteks Malaysia Madani,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Majlis Perundingan Pimpinan Wanita Kerajaan Perpaduan turut berharap agar konvensyen ini akan dapat memperkukuhkan agenda Kerajaan Perpaduan bagi membentuk Malaysia Madani.

“Majlis Perundingan Pimpinan Wanita Kerajaan Perpaduan berharap, melalui konvensyen ini, ianya dapat memperkukuh agenda Kerajaan Perpaduan di bawah teraju Malaysia Madani,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.