Kini Masa Perkukuh Parti … Tingkatkan Kesepaduan Dan Kesepakatan – Mohamed Khaled
LEDANG, 27 April – Kini adalah masa untuk kita mempertingkatkan kesepaduan dan kesepakatan bagi merawat serta mengukuhkan parti, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ujarnya, beliau mengalu-alukan penganjuran majlis kemasyarakatan seperti Majlis Sambutan Aidilfitri seperti yang diadakan oleh UMNO Bahagian Ledang semalam untuk mengumpulkan keluarga besar parti.
“Menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Ledang. Turut hadir YAB Datuk Seri Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Hj. Abdul Rahim bin Talib, Ketua UMNO Bahagian Ledang, barisan kepimpinan UMNO Bahagian Ledang, ketua-ketua UMNO Bahagian Negeri Johor, Wanita, Sayap Pergerakan Pemuda, Puteri UMNO, pemimpin tempatan dan masyarakat setempat.
“Saya mengalu-alukan penganjuran majlis kemasyarakatan seperti ini dan UMNO Bahagian Ledang merupakan bahagian pertama di Negeri Johor yang menganjurkan majlis Aidilfitri. Jemputan ini secara tidak langsung telah membangkitkan nostalgia lama yang mengimbau kenangan zaman muda saya bersekolah rendah dan membesar di Ledang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, semalam.
Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi itu turut berpendapat bahawa parti perlu mengenal pasti isu dan cabaran agar UMNO terus menjadi harapan dan sandaran rakyat.
“Hari ini kita berkumpul sebagai satu keluarga besar UMNO. Pemilihan UMNO telah selesai dan kita menyaksikan barisan kepimpinan baru yang dipilih dan dilantik termasuklah UMNO Bahagian Ledang.
“Kini adalah masa untuk kita mempertingkat kesepaduan dan kesepakatan bagi merawat dan memperkukuhkan parti. Kita harus mengenal pasti isu dan cabaran, mengorak langkah serta strategi supaya UMNO terus menjadi harapan dan sandaran rakyat khususnya orang Melayu.
“Namun, usaha ini tidak akan dapat dijayakan sekiranya tiada kerjasama dan sokongan dari ahli dan kepimpinan UMNO itu sendiri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut mendoakan agar segala usaha yang ingin dilaksanakan akan membawa kejayaan besar pada masa akan datang.
“Sempena bulan Syawal yang penuh nikmat ini, saya mendoakan agar segala usaha yang ingin dilaksanakan akan membawa kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.
“Dengan kesempatan ini juga, saya ingin memohon maaf zahir dan batin sekiranya ada melakukan kesilapan sepanjang menggalas tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Terima kasih dan tahniah UMNO Bahagian Ledang atas jemputan dan penganjuran Majlis Aidilfitri ini,” katanya lagi. – UMNO Online