Kerajaan Perpaduan Secara Dasar Setuju Sedia Peruntukan Kepada Ahli Parlimen Pembangkang – Ahmad Zahid

BALING, 27 April – Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju menyediakan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang namun ia hanya untuk perbelanjaan pentadbiran, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perkara itu sedang dimuktamadkan, dengan perbincangan sedang dijalankan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dengan pihak berkaitan, dan pengumuman mengenainya akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Di peringkat awal ini, kita telah bersetuju untuk perbelanjaan pentadbiran,” katanya kepada pemberita semasa program tinjauan mesra di Desa KEDA Sadek di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian selepas ditanya mengenai sama ada kerajaan bersedia untuk memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Sebelum ini, Fadillah dilaporkan media sebagai berkata bahawa tiada syarat ditetapkan ketika rundingan awal bersama wakil Perikatan Nasional (PN) bagi membincangkan peruntukan kewangan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata proses pembahagian kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah hampir selesai.

“Kita hampir memuktamadkan pembahagian kerusi itu untuk negeri Kedah. Lain-lain negeri (lima negeri lagi yang akan terlibat dalam PRN) apabila saya berada di negeri berkenaan (untuk umumkan tentang pengagihan kerusi,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.