Kerajaan Komited Sokong Pertumbuhan Industri Aeroangkasa – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 26 April – Kerajaan komited menyokong pertumbuhan industri aeroangkasa dan akan terus bekerjasama rapat dengan semua pemegang kepentingan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pelaburan dan pertumbuhan mampan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau juga berkata Malaysia pada hari ini juga memiliki dasar yang lebih baik untuk mempromosikan negara  sebagai properdagangan, properniagaan dan propelaburan.

“Tidak kira apa juga cabaran yang mendatang, saya dan pasukan saya bersedia untuk memastikan transformasi perindustrian Malaysia dan terus memasarkan Malaysia sebagai papan loncatan utama dan cekap kos atau pangkalan sokongan bagi negara-negara yang mahu memasuki pasaran Asean atau malahan Asia, “ katanya pada majlis permeteraian antara Asia Digital Engineering (ADE) dan OCP Asia Ltd, di sini, hari ini.

ADE, cabang kejuruteraan dan penyenggaran Capital A Bhd, memperoleh pelaburan berjumlah US$100 juta (US$1=RM4.460) daripada OCP Asia untuk membina dan mengendalikan kemudahan hangar penyenggaraan pesawat canggih di Sepang, Selangor.

Tengku Zafrul berkata Malaysia memiliki industri penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang berkembang maju yang menawarkan pelbagai peluang pelaburan.

Pada 2022, katanya, Malaysia memperoleh projek pengembangan MRO bernilai RM600 juta melibatkan aktiviti MRO komponen dan penyenggaraan berat, daripada pelbagai syarikat bereputasi tinggi yang beroperasi di negara ini.

“Ini menunjukkan pelabur dari dalam dan luar Malaysia melihat sektor MRO kita sebagai peluang pelaburan dengan potensi pertumbuhan yang besar,” katanya.

Beliau juga berkata penyertaan ADE dalam bidang MRO di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik dijangka meningkatkan lagi pertumbuhan industri MRO Malaysia selain memacu persaingan sihat dengan penyedia perkhidmatan sedia ada.

“Apa yang paling penting, perkongsian ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan bergaji lebih tinggi bagi tenaga kerja tempatan dan peluang untuk penyetempatan perkhidmatan lain oleh syarikat kecil dan sederhana dalam rantaian bekalan tempatan,” kata Tengku Zafrul.

Menurutnya, semua ini akan menyokong pelaksanaan kerangka industri Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang diterajui National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO) untuk membantu meletakkan Malaysia sebagai hab aeroangkasa utama di Asia Tenggara menjelang 2030.

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus menyasarkan pelaburan langsung asing dalam sektor strategik yang memberi kesan kepada pertumbuhan masa depan, iaitu sektor elektrik dan elektronik, terutamanya untuk peralatan perubatan, farmaseutikal, ekonomi digital, aeroangkasa dan bahan kimia. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.