Ahmad Maslan Harap Aidilfitri Beri Makna Menyeluruh

KUALA LUMPUR, 24 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap Aidilfitri yang disambut pada tahun ini memberi makna menyeluruh kepada seluruh umat Islam di seluruh negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya berharap masing-masing dapat melahirkan rasa syukur dengan nikmat yang dianugerahkan Allah SWT terutama dapat melalui Ramadan dengan sebaiknya.

“Salam perpaduan… salam perpaduan Madani dan syukur kehadrat Allah SWT. Hari yang kita tunggu sudah tiba iaitu hari raya Aidilfitri dan saya ingin merakamkan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua ahli serta penyokong UMNO dan seluruh rakyat Malaysia beragama Islam,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya berharap Aidilfitri pada tahun ini benar-benar memberi makna kepada semua pihak.

“Mudah-mudahan hari raya ini memberi penuh makna kepada kita dalam keadaan negara yang semakin stabil dari segi politiknya dan kita pada saat ini perlu memperkukuh ekonomi diri kita, pendidikan anak-anak kita dan terus memajukan diri, masyarakat serta negara. Selamat Hari Raya Aidifitri, Maaf Zahir Batin,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.