Selamat Hari Raya Aidilfitri, Bersama Pelihara Keamanan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 21 April – Berakhirnya Ramadan berganti Syawal yang sarat dengan pelbagai makna dan nilai tersendiri.
Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam.
“Saya dan keluarga ingin menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam walau di mana anda berada. Maaf Zahir dan Batin.
“Alhamdulilah, segala puji-pujian penuh kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT, kerana kita telah berjaya menyempurnakan ibadah puasa disepanjang bulan Ramadan tahun ini.
“Mudah-mudahan, semua amalan mulia yang kita laksanakan serta segala amal ibadat diterima oleh Allah SWT dan dapatlah jua merasai sekali lagi kenikmatan Ramadan pada tahun hadapan. Insya-Allah.”
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus memelihara keamanan.
“Sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang kaum dan agama, saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memelihara keamanan, kemakmuran dan keharmonian tanah air yang kita sayangi ini, dalam usaha mencapai sebuah negara Malaysia Madani.
“Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, marilah kita bermaaf-maafan dan seterusnya memperkukuh ikatan persaudaraan serta perpaduan sesama kita. Paling penting, pastikan terus mengamalkan kawalan kendiri demi keselamatan diri dan keluarga tercinta,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri. – UMNO Online