Syawal Medan Perkukuh Parti, Erat Silaturahim Fokus Hadapi PRN, PRU16 – Johari
KUALA LUMPUR, 20 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berharap sambutan Hari Raya Aidilfitri akan mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli parti sebagai medan memperkukuh kembali UMNO.
Katanya pendekatan ini penting sebagai usaha parti dalam memberi fokus mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin kepada ahli UMNO khususnya selepas kita selesai pemilihan parti.
“Kita semua kena rapatkan barisan, saling bermaafan antara satu sama lain dan perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada PRN akan datang serta PRU akan datang,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Beliau pada masa sama turut menitipkan pesanan kepada para perantau yang pulang ke kampung untuk memandu secara berhemah.
“Saya juga ingin mengucapkan kepada mereka yang akan pulang ke kampung, yang mana memandu itu berhati-hati di jalan raya, biar lambat asal selamat,” ujar beliau. – UMNO Online