Sambut Aidilfitri Dengan Rasa Rendah Hati, Pererat Silaturrahim – Noraini

KUALA LUMPUR, 20 April – Bersempena Aidilfitri yang bakal menjelang, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengucapkan selamat hari raya dan maaf zahir batin kepada seluruh umat Islam.

Beliau berharap agar hari raya ini disambut dengan rasa rendah hati dan tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik.

“Bagi pihak Wanita UMNO Malaysia, saya ingin mengucapkan selamat hari raya Aidilftri, maaf zahir batin kepada semua wanita-wanita di Malaysia ini terutamanya yang menjadi sebahagian daripada Wanita UMNO Malaysia iaitu sebahagian daripada ahli kami dan juga untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Kita menyambut hari raya ini dengan rasa rendah hati dan kita jangan lupa pada mereka yang kurang bernasib baik,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong turut mengharapkan agar silaturrahim dipererat.

“Saya harapkan juga agar silaturrahim kita dapat dirapatkan, insya-Allah.

“Bagi Wanita UMNO dalam kita bergembira ini kita jangan lupa pada mereka yang memerlukan dan kita jangan lupa juga selepas saja daripada Raya, insya-Allah akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), jadi kena semua bersedialah.

“… tapi selamat hari raya, maaf zahir batin daripada saya , Noraini Ahmad, Ketua Wanita UMNO Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.