Aidilfitri Peluang Tingkatkan Lagi Suasana Perpaduan Seluruh Rakyat – Sharkar
KUALA LUMPUR, 20 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap sambutan Aidilfitri yang disambut seluruh negara benar-benar menghidupkan lagi suasana kerajaan perpaduan hari ini.
Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang seterusnya berkata adalah amat penting semangat perpaduan itu ditingkatkan khususnya sepertimana tahun 1970-an dan suasaana 1980-an yang lalu.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di mana anda berada. Marilah kita sama-sama tingkatkan lagi jalinan perpaduan antara kita di negara ini. Tahun-tahun dulu 1970-an kita dapat saksikan bagaimana hubungan yang cukup erat antara satu dengan yang lain. Semua kaum merayakan sambutan perayaan dan seolah-olah tiada ‘barrier’.
“Dan hari ini marilah kita tingkatkan semangat Kerajaan Perpaduan, dengan semua kaum menghormati dengan yang lain. Inilah yang kita perlu sematkan dalam diri masing-masing supaya sambutan perayaan benar-benar memberi makna kepada seluruh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Dalam perkembangan sama, beliau turut berharap agar semua pihak berhati-hati sepanjang musim perayaan ini dan kepada warga perantau rancanglah perjalanan sebaiknya.
“Kepada yang balik kampung halaman saya mendoakan agar selamat sampai ke destinasi yang dituju.
“Dan kepada yang bertugas semasa hari raya, ini adalah pengorbanan yang sangat besar kerana apa yang telah anda lakukan ini adalah untuk negara dan rakyat. Sekali lagi saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin,” tambahnya. – UMNO Online