Tol Rahmah Percuma Langkah Dinamik Bantu Rakyat Pulang Berhari Raya – Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 19 April – Puteri UMNO Malaysia menyambut baik inisiatif kerajaan membabitkan Tol Rahmah percuma iaitu pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Ketua Penerangannya, Shamellya Norazizi berkata ianya sebagai satu langkah dinamik dalam membantu rakyat Malaysia untuk pulang ke kampung halaman dengan selesa dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Puteri UMNO Malaysia mengambil maklum terhadap pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang semalam berkaitan beberapa perkara dalam persediaan menghadapi Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Ribuan terima kasih di atas keprihatinan Perdana Menteri di atas beberapa pengumuman yang membantu rakyat Malaysia seperti Tol Rahmah percuma selama empat hari yang akan bermula pada 19 April sehingga 21 April dan 24 April 2023 bagi kesemua pengguna jalan raya melibatkan 33 buah lebuhraya bagi semua kelas kenderaan,” katanya menerusi satu kenyataaan.

Sementara itu, Shamellya turut sama meluahkan penghargaan kepada kerajaan kerana bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat untuk membuat perancangan sewajarnya untuk Hari Raya Aidilfitri dan pulang ke kampung halaman.

“Ketetapan berikut mengikut hari Syawal 1, sekiranya jatuh pada hari Jumaat, Isnin akan dikira sebagai hari perlepasan am dan sekiranya Syawal 1 jatuh pada hari Sabtu, perlepasan am diberikan pada hari Jumaat bagi memudahkan urusan semua untuk pulang berhari raya.

“Tidak dilupakan juga, hasrat murni kerajaan dalam melaksanakan Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti).

“Ikhtiar ini memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga tercinta selain penghuni agama lain juga berpeluang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) ini dilaksanakan di seluruh institusi Penjara Malaysia melibatkan pelepasan lebih 1,000 OBB sepanjang bulan Ramadan dan Syawal. Kepulangan ini amat bermakna dalam meraikan Hari Raya bersama keluarga tercinta menuju lembaran buku baru yang lebih murni,” ujar beliau.

Dalam pada itu Puteri UMNO Malaysia turut mengambil kesempatan mengucapkan salam lebaran kepada rakyat Malaysia serta berharap bagi yang pulang ke kampung halaman berhati-hati di jalan raya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.