Proses Tapisan Dan Senarai Pendek Calon PRN  Sedang Diteliti – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 19 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata proses senarai pendek calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri akan datang masih dalam penilaian serta tapisan.

Menurut beliau masing-masing akan melalui proses tersebut sebelum ianya diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk dibuat keputusan dan kali ini calon yang akan bertanding di kawasan mestilah terdiri daripada mereka yang mempunyai peluang yang cukup tertinggi untuk menyumbang kemenangan kepada Barisan Nasional (BN)

“Saya letakkan penanda aras iaitu setiap kerusi yang akan ditandingi oleh BN kelak, mana-mana individu atau parti yang akan diberikan peluang kali ini mestilah dalam kalangan yang dilihat akan memenangi kerusi itu.

“Calon yang mempunyai kemungkinan untuk menang lebih tinggi akan diberikan tempat dan peluang. Bukan ambil sebab mereka ketua bahagian ataupun sebab dia penyandang kerusi tetapi kali ini saya memikirkan soal kemenangan itu keutamaannya,” katanya.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Tautan Kasih dan Berbuka Puasa Bersama Kepemimpinan UMNO Bahagian Jelebu di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu di Simpang Pertang di sini, semalam.

Sementara itu, ditanya kedudukan peluang parti komponen BN untuk bertanding pada PRN nanti, Jalaluddin menjelaskan, pelbagai perkara akan dipertimbangkan malah bersedia untuk memberikan salah satu kerusi daripada 15 kerusi yang dimenangi sebelum ini kepada MCA sekiranya ia didapati mempunyai peluang lebih tinggi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

“Umpamanya kerusi di DUN Pertang, jika selepas kajian, analisa dan tapisan dibuat dan dilihat MCA mempunyai lebih peluang (menang) maka kerusi itu akan diberikan kepada MCA.

“Kita akan tengok dan pertimbangkan, ia perkara biasa dan bergantung kepada kajian, jika mereka boleh menang kenapa tidak diberikan pertimbangan. Itu kriteria paling penting, jika lebih berpotensi untuk menang maka boleh dipertimbangkan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.