‘Pesta’ Sokongan Kepada MB Kedah Timbulkan Pelbagai Persepsi – UMNO Kedah

KUALA LUMPUR, 19 April – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata pihaknya cukup hairan melihatkan seolah-olah wujud ‘pesta’ melontarkan sokongan kepada Menteri Besar negeri berkenaan, Datuk Seri Sanusi Md Noor kebelakangan ini dan ianya menimbulkan pelbagai persoalan.

Malah kata beliau di media sosial dan sebagainya, umum dapat melihat tiba-tiba timbul coretan-coretan yang pelbagai dengan masing-masing memberi sokongan teguh daripada pelbagai peringkat pimpinan.

“Persoalannya, adakah wujud masalah ataupun perpecahan di dalam Pas Kedah sehingga mendorong seolah-olah wujudnya satu arahan menyeluruh ataupun ‘gag order’ untuk memberi sokongan kepada Datuk Seri Sanusi.

“Ataupun, sudah timbul rasa bimbang dan gerun akan perkembangan politik semasa di Kedah yang menyaksikan pimpinan perpaduan negeri Kedah gabungan BN dan PH sudah mula menyusun langkah formasi perang pilihan raya? Hakikatnya saya yakin ianya lebih kepada kegusaran Pas akan susunan dan gerak kerja terbaru pimpinan perpaduan negeri Kedah.

“Namun apa yang pasti, senario tersebut memberikan pelbagai persepsi termasuklah kebimbangan merosotnya sokongan dalaman dan pada masa yang sama ingin memperbaiki ‘rating’ menteri besar yang dilihat semakin merosot,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Pada masa yang sama beliau yang juga Ketua UMNO Merbok seterusnya berpandangan apabila Pas secara melulu dan luar biasa melontarkan sokongan kepada Menteri Besar, mereka terlepas pandang sesuatu yang bukan hak mereka.

“Pesuruhjaya Pas Kedah, Ustaz Ahmad Yahya tiba-tiba menamakan Datuk Seri Sanusi Mohammad Noor sebagai calon ‘poster boy’ dan akan dijadikan sebagai Menteri Besar sekiranya Perikatan Nasional memenangi pilihan raya negeri kelak.

“Saya suka mengingatkan bahawa berdasarkan kepada undang-undang tubuh kerajaan, hak dan kuasa pelantikan seseorang Menteri Besar itu adalah berada di bawah bidang kuasa KDYMM Tuanku Sultan Kedah, parti yang berjaya membentuk kerajaan sekadar hanya boleh mencalonkan, namun kuasa mutlak dan penuh adalah hak KDYMM Tuanku Sultan itu sendiri. Nasihat saya, Pas sepatutnya faham kedudukan ini dan seharusnya menghormati institusi beraja di negeri Kedah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.