Pasca Pemilihan: Para Perwakilan Matang Tentu Barisan Kepimpinan, Bentuk Gabungan Pelbagai Sudut

KUALA LUMPUR, 19 April – Keputusan Pemilihan UMNO bagi penggal 2023/2026 lalu memperlihatkan para perwakilan matang dalam membuat keputusan untuk menentukan barisan kepimpinan yang terbentuk dari pelbagai sudut.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melihat kepada keputusan untuk jawatan Naib Presiden, para perwakilan sudah semestinya percaya bahawa gabungan ini dapat membantu parti bangun semula.

“Kalau kita lihat kepada keputusan pemilihan jawatan Naib Presiden, maknanya daripada menteri ada seorang iaitu Datuk Seri Khaled Nordin. Kemudian Ahli Parlimen (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) dan Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail).

“Ini jelas menunjukkan bahawa para perwakilan matang untuk membuat pilihan kerana sebenarnya mereka boleh memilih sesiapa sahaja ketika itu. Ini terbukti bahawa mereka inginkan gabungan daripada pelbagai sudut,” katanya ketika sesi wawancara di Facebook UMNO Online, semalam.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang itu berkata, dengan adanya dua orang muka baharu bagi jawatan tersebut, sedikit sebanyak ia mampu untuk membawa perubahan positif khususnya kepada sokongan rakyat terhadap parti.

“Saya fikir mereka merasakan gabungan ini boleh membantu Presiden dan Timbalan Presiden kerana kita tahu bahawa sokongan rakyat terhadap UMNO semakin terhakis.

“Jadi, dengan adanya dua muka baharu sebagai Naib Presiden, saya percaya sedikit sebanyak ianya akan membantu parti untuk membuat beberapa perubahan positif agar rakyat kembali kepada UMNO dan ini akan membolehkan kita bangkit semula. Insya-Allah,” katanya lagi.

Menurut Wan Rosdy, harapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melihat kesatuan dalam parti terbukti apabila calon-calon yang kalah turut dilantik dan diberikan tempat selepas musim pemilihan lalu.

“Saya dapati ada beberapa sekretariat lain yang dilantik sebagai contohnya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil telah dimasukkan dalam Sekretariat Hal-Hal Wanita. Saya nampak mereka yang bertanding tetapi kalah turut diberikan tempat.

“Ini menunjukkan bahawa besar hasrat Presiden untuk melihat kita bersatu-padu, tidak ada sesiapa yang terpinggir dan kita bergerak sebagai satu pasukan … tidak ada masalah dalaman sebab kita nak bangkit semula.

“Saya percaya apa yang dibuat oleh Presiden adalah satu tindakan sangat baik untuk kita mengorak langkah ke hadapan,” katanya lagi.

Pada 19 Mac lalu media melaporkan bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani diumumkan secara rasmi menang jawatan Naib Presiden UMNO bagi penggal 2023/2026.

Wan Rosdy memperolehi undian tertinggi iaitu sebanyak 124 undi sementara Johari mendapat 107 undi.

Penyandang sebelum ini iaitu Mohamed Khaled pula berjaya mengekalkan jawatan dengan memperoleh 114 undian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.