Jadikan Lebaran Medan Erat Silaturahim… Semoga Diraikan Dengan Meriah – Norliza

KUALA LUMPUR, 19 April – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya para ahli parti supaya menjadikan lebaran sebagai peluang untuk merapatkan silaturahim bersama keluarga mahupun sahabat handai.

Di samping itu, beliau turut mendoakan agar Aidilfitri yang tiba pada tahun ini dapat diraikan dengan suasana penuh meriah.

“Alhamdulilah bakal selesai bulan Ramadan, maka Syawal menjelang tiba. Saya, Norliza Abdul Rahim ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri dan gunalah peluang ini untuk merapatkan silaturahim antara keluarga, rakan-rakan, jiran-jiran dan masyarakat di seluruh negara.

“Kepada semua umat Islam yang meraikan Aidilfitri pada tahun ini, Insya-Allah saya doakan kita dapat merayakannya dengan suasana meriah sekali.

“Dalam kemeriahan itu jangan kita lupa untuk berhati-hati, jangan main mercun dan makan banyak sangat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut mengharapkan agar lebaran kali ini dirayakan dengan penuh suka ria dan kemudian perlu kembali bekerja keras untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan tiba tidak lama lagi.

“Khususnya kepada ahli-ahli terutamanya Wanita UMNO, kita harapkan semoga semuanya bersuka-ria sebab PRN akan datang selepas itu. Jadi kita berhari raya dulu, barulah kita akan bekerja dengan kuat untuk menghadapi pilihan raya di enam negeri akan datang.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf sekiranya ada tersalah kata atau tersilap bahasa,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.