Hentikan Politiking, Fokus Agenda Pembangunan Rakyat Dan Negara – Rosni

KUALA LUMPUR, 19 April – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari menyeru pemimpin politik untuk menghentikan sengketa politiking demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, ini termasuk perancangan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada perlu dihindar kerana rakyat kini makin muak dengan percaturan politik kerana ianya akan turut sama memberi kesan kepada mereka.

“Seruan saya kepada ahli politik, hentikanlah politiking sepanjang masa, pilihan raya sudah berlalu, sekarang masa untuk membina dan membela nasib bangsa Malaysia, rakyat dah penat, rakyat dah muak dengan politik yang tak berkesudahan.

“Bagi peluang kepada mereka merencana masa depan jangan ada lagi komplot jahat yang bercita-cita untuk meruntuhkan Kerajaan Perpaduan hari ini, setiap pihak harus menghormati antara satu sama lain.

“Jangan biarkan ada pihak yang teraniaya dek kerana sistem telah disalahgunakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran berkata, pengajaran daripada krisis politik selepas PRU14 perlu diambil pengajaran sebaiknya kerana ianya turut sama menjejaskan ekonomi negara.

“Rakyat Malaysia telah melalui suasana ketidakstabilan politik sejak 2018 yang mana ketidakstabilan ini menjejas kedudukan ekonomi negara secara langsung.

“Ramai pelabur pelabur telah lari meninggalkan negara kita dengan mencari negara lain berdekatan yang menjanjikan politik lebih stabil.

“Keadaan ketidaktentuan ini merupakan satu kerugian amat besar kepada negara dan rakyat, tentu nya rakyat akan kehilangan peluang pekerjaan dan terus melalui zaman suram,” ujar beliau.

Jelas Rosni lagi menambahkan lagi kedukaan apabila PRU15 juga menyaksikan tiada parti yang berjaya membentuk majoriti mudah kerusi Parlimen sehingga mendorong Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan pembentukan kerajaan perpaduan bagi memudahkan pembentukan kerajaan baharu.

“Keputusan PRU15 amat mengecewakan maka kerajaan perpaduan berjaya dibentuk selepas tiada mana mana parti politik pun yang berjaya membentuk kerajaan. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

“Melihat kepada kesungguhan Anwar Ibrahim menstabilkan politik dan ekonomi negara saya merasakan bahawa semua pihak harus memberi peluang dan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada beliau, banyak initiatif diusahakan oleh beliau dan berjaya menarik lebih ramai pelabur datang ke Malaysia.

“Lawatan PM ke China tempoh hari telah berjaya menarik 19 syarikat negera itu menjalinkan kerjasama dengan syarikat Malaysia yang membabitkan pelaburan lebih RM170 bilion, saya percaya jika politik Malaysia berada dalam keadaan stabil, sudah pasti akan mengundang lebih ramai pelabur untuk melabur di Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.