Tok Mat Ingatkan Ahli Kabinet UMNO Tunjuk Prestasi Cemerlang, Bina Kembali Kekuatan Parti

KUALA LUMPUR, 18 April – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan rakan-rakan kabinet UMNO yang berada dalam kerajaan untuk terus menunjukkan prestasi terbaik di samping membawa agenda parti bersama.

Jelasnya, perkara utama yang perlu dilakukan oleh parti ialah membina semula kekuatan secara diam-diam dalam usaha untuk mengambil kembali hati rakyat.

“Banyak yang patut kita lakukan tetapi apa yang boleh saya ringkaskan ialah kita kena sedar diri. Jangan berkelakuan seperti kita memerintah dahulu. Tambahan pula selepas kita berada dalam kerajaan, kita ingat ini adalah kerajaan kita.

“Apa yang penting, bina semula kekuatan secara diam-diam. Buat kerja below the radar dan ambil semula hati rakyat.

“Kepada sesiapa yang jadi menteri dan timbalan menteri, lakukan kerja dengan cemerlang supaya orang boleh melihat kualiti menteri-menteri UMNO ini lebih baik daripada parti lain,” katanya ketika sesi wawancara di Facebook UMNO Online, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan turut mengingatkan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) berperanan untuk menjadi penyemak imbang Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini.

“Orang boleh buat perbandingan sebab banyak parti dalam Kerajaan Perpaduan ini. Saya harap rakan-rakan kabinet saya dan juga timbalan-timbalan menteri, kurangkan bercakap, banyakkan kerja dan jangan lupa bahawa agenda parti pun perlu kita bawa bersama.

“Agenda parti kita untuk membasmi kemiskinan, untuk menjaga hak dan maruah bangsa Melayu serta agama Islam. Itu kita jangan lupakan. Sebab itu, lebih baik menjadi penyemak imbang di dalam daripada di luar.

“Itu yang sedang kita lakukan sekarang iaitu menyemak imbang kerajaan daripada dalam,” katanya lagi.

Pada 2 Disember yang lalu media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa lima pemimpin daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) dilantik sebagai menteri di bawah Kerajaan Perpaduan.

Pemimpin yang dilantik sebagai menteri kabinet adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri); Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan); Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pendidikan Tinggi); Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Zambry Abd Kadir (Menteri Luar Negeri) dan Senator Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Bagi jawatan timbalan menteri pula yang dilantik ialah MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (Timbalan Menteri Kewangan); Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Timbalan Menteri Kerja Raya); Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (Timbalan Menteri Dalam Negeri) dan Datuk Mohamad Alamin (Timbalan Menteri Luar Negeri). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.