Sambut Aidilfitri Dengan Silaturahim… Semangat Perkukuh Parti – Rosnah

KUALA LUMPUR, 18 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengajak semua ahli UMNO untuk menyambut lebaran dengan semangat silaturahim di samping mengukuhkan parti.

Menurutnya, amalan untuk meneruskan segala khidmat kebajikan parti kepada rakyat juga perlulah dilaksanakan secara konsisten supaya UMNO kekal di hati rakyat.

“Saya Rosnah Abdul Rashid ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh ahli UMNO di seluruh negara dengan ucapan Selamat Hari Raya maaf zahir dan batin.

“Saya mengharapkan kita menyambut hari raya dengan semangat silaturahim yang tinggi, semangat untuk memperkukuhkan parti, semangat untuk meneruskan aktiviti dan amalan sebagai ahli UMNO iaitu memberikan yang terbaik untuk rakyat

“…termasuklah kebajikan serta bantuan-bantuan yang tidak pernah lekang diberikan oleh UMNO sama ada masa kita senang mahupun susah, semasa menjadi kerajaan mahupun pembangkang. Jadi, amalan ini perlu kita teruskan supaya rakyat sentiasa ingat kepada parti UMNO sebagai peneraju kepada usaha-usaha kebajikan yang dilaksanakan selama ini. Insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online.

Pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri 1444 Hijrah /2023 Masihi akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja setelah membuat cerapan hilal dan hisab seperti tahun-tahun sebelum ini.

Penetapan tarikh tersebut adalah tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di 29 lokasi seluruh negara.

Tarikh melihat anak bulan telah ditetapkan seperti biasa iaitu pada 29 Ramadan, bersamaan 20 April bagi tahun ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.