Peralihan Pemimpin, Berpengalaman Di Bahagian Beri Kelebihan UMNO Hadapi Cabaran

MACHANG, 18 April – Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Noor Hariri Mohd Nor berpandangan keputusan Pemilihan UMNO 2023/2026 memberikan kelebihan tersendiri kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam mengharungi cabaran masa depan termasuklah menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya di negeri ini.

Katanya ini kerana pemilihan membuktikan bahawa UMNO terbuka dalam peralihan kepimpinan bahagian yang berpengalaman sekaligus membawa nafas baharu kepada parti keramat ini.

“Kita tidak nafikan berlakunya pemilihan melibatkan beberapa muka baharu yang diketengahkan, ini sebagai bukti menunjukkan kesungguhan ahli-ahli di cawangan, akar umbi dan bahagian untuk membuat satu perubahan lebih baik dalam UMNO sendiri,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang pernah menyandang sebagai ketua Pemuda UMNO negeri pada penggal lepas berkata gerak kerja sebaiknya juga dilakukan dalam mendekati golongan muda bersama saf kepimpinan baharu.

Menurut Hariri, anak muda perlu diberikan pendedahan sewajarnya berkenaan kepentingan mengundi terutama kepada masa hadapan negara.

“Keberadaan saya dalam saf kepimpinan Kelantan akan sedaya mungkin memberi idea baharu untuk mengembalikan sokongan anak-anak muda kepada UMNO/BN dalam PRN yang bakal menjelma nanti.

“Insya-Allah kami akan gembleng usaha semula bersama Pemuda dan Puteri untuk kita sekalikan gerak kerja khususnya menarik sokongan anak muda termasuk pengundi pertama kali bahawa pentingnya mereka mengundi ke arah yang lebih baik, bukannya fikirkan sentimen dan fitnah.

“Saya merasakan pemilihan kali ini memberi satu sentuhan yang baharu terhadap penarikan golongan muda untuk kembali menyokong UMNO/BN,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.