Jelajah Ihya Ramadan Pemuda UMNO Seluruh Negara Berakhir, Komitmen Terbaik Anggota Parti

KUALA LUMPUR, 18 April – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia semalam mengakhiri Jelajah Ihya Ramadan Pemuda yang diadakan melibatkan seluruh negara.

Berbesar hati melapangkan masa menyantuni golongan muda, ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh meluahkan kesyukuran kerana jelajah tersebut berakhir di tiga buah negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan jayanya.

“Jelajah tiga negeri dalam tempoh 12 jam yang berakhir di Pahang sahur tadi maka lengkaplah Jelajah Ihya Ramadhan Pemuda ke seluruh 13 negeri sebelum tiba hari raya.

“Selesai sahur dengan Pemuda UMNO Pahang apabila berbuka puasa di Kelantan dan moreh di Terengganu,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Beliau juga pada masa sama meluahkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan Pemuda negeri yang begitu komited dalam memastikan kelancaran program tersebut di tempat mereka meskipun dimaklumkan secara saat akhir.

Dr Akmal turut memaklumkan bahawa jelajah seumpama ini akan terus dilaksanakan sebagai agenda memperkukuh sayap parti itu di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan mereka.

“Saya sengaja bagi makluman di saat akhir sepanjang jelajah seluruh negara pada bulan Ramadan ni sebab nak lihat sejauh mana komitmen pemuda di peringkat setiap negeri.

“Alhamdulilah setiap negeri komitmennya sangat-sangat baik kira ’round’ pertama ni lulus… ‘ready for next round’,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.