Tiga Jawatankuasa Telah Dibentuk Dalam Kerajaan Perpaduan – Dr Asyraf Wajdi

KOTA BHARU, 17 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan hubungan UMNO dengan Kerajaan Perpaduan pada hari ini cukup baik dan diterima oleh semua parti.

Katanya, terdapat tiga Jawatankuasa yang telah dibentuk oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Tiga jawatankuasa yang sedang berjalan hari ini iaitu Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik dan difungsikan bersama oleh SUA Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution dan SUA Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Yang kedua adalah Jawatankuasa Komunikasi Strategi yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

“… dan yang terakhir Jawatankuasa Perundingan yang melibatkan PH dan BN yang dipersetujui diperingkat majlis perundingan pimpinan-pimpinan sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memenangi PRN,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media bersama Kelab Media Darul Naim (KEMUDI) baru-baru ini.

Seterusnya kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh itu, mandat telah diberikan kepada kepimpinan negeri-negeri bagi membincangkan berkenaan memenangi PRN.

“Kita telah memberikan mandat pada negeri-negeri untuk wakil-wakil kepimpinan BN dan PH negeri untuk berbincang. Insya-Allah… maklumat yang diterima amat positif sekali dan akan diadakan mesyuarat jawatankuasa perundingan ini selepas hari raya,” jelas beliau.

Katanya lagi, pada 14 Mei nanti akan diadakan Konvensyen Kerajaan Perpaduan Malaysia yang melibatkan semua parti yang telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dan juga parti-parti individu yang menyokong kerajaan.

“Pada 14 Mei akan diadakan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia yang melibatkan semua parti-parti politik yang bernaung di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Parti-parti yang bernaung adalah yang menandatangani MoU perjanjian menubuhkan Kerajaan Perpaduan Malaysia. Ini melibatkan parti PH, BN, GPS, GRS dan Warisan.


“Kita juga ada parti-parti yang bersifat individu menyertai Kerajaan Perpaduan walaupun tidak menandatangan MoU tetapi diterima sebahagian daripada parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia. Ini termasuk parti PBM, Muda dan KDM,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.