Tiada Alasan Berdiam Diri, UMNO Tetap Turun Padang Laksana Khidmat Bakti

LABUAN, 17 April – UMNO Bahagian Labuan tetap meneruskan perkhidmatan kepada rakyat melalui konsep turun padang walaupun kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Menurut Ketua Bahagiannya, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, walaupun UMNO kalah PRU tetapi kasih sayang UMNO kepada rakyat tidak akan berkurang.

“Kita kalah pilihan raya tetapi masalah rakyat akan terus UMNO perjuangkan dan hari ini kita turun bantu rakyat melalui Program Ziarah Kasih Ramadan yang diadakan di seluruh Labuan.

“Kita terima hakikat kekalahan kita tetapi tanggungjawab kepada rakyat akan tetap kita jalankan dan gelombang baju merah di setiap cawangan juga akan kita teruskan demi membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Kepimpinan UMNO Labuan dan Penyampaian Sumbangan Kepada Golongan Asnaf, Anak Yatim serta Pelajar Tahfiz di sini, semalam.

Selain itu, beliau turut mengambil pendekatan baharu dalam menarik sokongan anak muda yang menjauhi UMNO pada PRU yang lalu.

“Kehilangan kerusi UMNO di Labuan kerana kita kalah dalam saluran pengundi muda, hampir di semua Pusat Daerah Mengundi… oleh itu UMNO perlu rapat dengan semua pihak terutama pertubuhan belia.

“Saya lantik Ahli Parlimen Belia Labuan dan Presiden Majlis Belia Labuan sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian bagi langkah awal Barisan Nasional kembali mendekati anak-anak muda di Labuan,” katanya.

Tambahnya, beliau turut mengarahkan Ketua-Ketua Cawangan UMNO untuk melaksanakan ‘pemutihan’ senarai ahli kerana UMNO Labuan lebih mengutamakan kualiti berbanding kuantiti ahli parti.

Pada majlis itu, seramai 134 orang asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz menerima bantuan selain 500 lagi penerima bantuan melalui Program Ziarah Kasih Ramadan yang sedang dilaksanakan di semua Cawangan UMNO di Labuan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.