Ketiadaan Air Ragut Kemeriahan Aidilfitri Penduduk Kedah – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 17 April – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan gangguan bekalan air di negeri berkenaan apatah lagi ketika suasana Aidilfitri kian terasa adalah senario yang amat menyedihkan.

Bagi beliau yang juga Ketua UMNO Merbok, hakikatnya masalah gangguan ini bukanlah akibat perubahan cuaca yang menyebabkan penurunan kuantiti sumber air, tetapi adalah lebih disebabkan Menteri Besar yang sudah terpesong fokus dan tumpuan, daripada masalah rakyat kepada agenda populariti diri selain sentimen mahu menjadi hero dan juga strategi meraih simpati.

“Saranan saya pada Menteri Besar, beliau perlu lebih telus dan berterus-terang kepada rakyat dengan memberi gambaran yang tepat akan apa yang berlaku di tapak loji pemprosesan air Bukit Selambau dan Sungai Limau?

“Kenapa ‘progress’ ataupun tahap kerja bagi kedua-dua loji ini masih rendah dan perlahan. Kedua-dua loji ini amatlah penting dan ianya memberi kesan langsung kepada pengguna air di Daerah Kuala Muda.

“Saya juga bimbang akan tahap respon dan tindakan Syarikat Air Darul Aman (SADA) terhadap krisis air di tengah-tengah musim perayaan. SADA ternyata sangat gagal menyelesaikan permasalahan aduan dan tindakan pantas. Pembekuan cuti kakitangan tidak cukup sekiranya pemetaan sistem dan tindakan masih lagi bersifat 20 tahun kebelakang,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya menyatakan keresahan dengan senario berkenaan terutama proses penghantaran bekalan air pada musim perayaan nanti.

“Saya juga sangat resah dengan proses penghantaran air ketika musim perayaan. Lori-lori yg ditugaskan oleh SADA didapati punyai banyak kelemahan dan meresahkan pengguna. Kebanyakan daripada mereka gagal menepati jadual ataupun terlewat daripada garis panduan yang telah ditetapkan.

“Kepada rakyat Kedah, bertabahlah! Kita berdoalah agar dibukakan hati Menteri Besar supaya berhenti bermain politik lakonan meraih simpati, jangan ego dan sentiasalah beradab, sesungguhnya tindak-tanduk beliau sebelum ini sama sekali tidak membawa sebarang keuntungan dan faedah untuk rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.