Kekal Relevan: UMNO Perlu Jual Propaganda Parti, Bukan Pemimpin – Azalina

KUALA LUMPUR, 17 April – Untuk memastikan parti keramat ini terus relevan, UMNO perlu menjual propaganda parti, bukannya pemimpin, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jelasnya, dalam politik UMNO selalu membuat gerakan secara bersemuka untuk bertemu dengan para pengundi.

“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, kita tidak bersedia dengan penggunaan media pihak ketiga kerana selalunya UMNO membuat gerakan face-to-face,” katanya ketika sesi wawancara di Facebook UMNO Online pada Sabtu.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu turut menganggap bahawa pemilihan muka-muka baharu sebagai calon pada PRU lalu merupakan cabaran besar kepada parti.

“Keduanya, saya tengok pimpinan kita banyak memilih muka-muka baharu juga yang mungkin menjadi satu cabaran kerana UMNO ini selalu memberi relevensi kepada pemimpin tempatan.

“Kalau kita nak tengok secara menyeluruh banyak sebab-sebab UMNO tidak begitu berjaya tambahan pula dengan persepsi negatif terhadap pimpinan parti,” katanya.

Ujarnya, UMNO perlu untuk terus kekal relevan kerana pemimpin sentiasa datang dan pergi.

“Saya melihat Penerangan UMNO ini bukan sahaja relevensi kepada perubahan daripada segi pendekatan politik tetapi kita kena mula menjual propaganda bahawa kita adalah UMNO, bukan kepada pemimpin.

“Pemimpin datang dan pergi. Saya sentiasa percaya bahawa pemimpin tidak akan sentiasa di situ dan akan ada perubahan kepimpinan. Tetapi UMNO mesti relevan,” katanya lagi.

UMNO/Barisan Nasional (BN) mula mengalami kemerosotan undi sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 apabila berlakunya tsunami politik pada PRU ke-13.

Bahkan, undi UMNO/BN terus merosot pada PRU ke-14 apabila buat kali pertama parti yang memerintah selama 61 tahun itu hanya memperoleh 79 berbanding 133 kerusi Parlimen pada PRU ke-13.

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.