Tengku Adnan Persoal Mana Era Baharu Putrajaya … Kenapa Rakyat Diminta Menyumbang?

PUTRAJAYA, 16 April – Bendari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor mempersoalkan janji ‘Era Baharu Putrajaya’ yang dijadikan tarikan oleh Datuk Dr Mohd Radzi Jidin semasa bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Soal beliau, kenapa selepas menjadi Ahli Parlimen Putrajaya, janji-janji yang dilafazkan tidak ditunaikan malah sebaliknya rakyat Putrajaya pula diminta menyumbang kepada pemimpinnya.

“Kata nak era baharu… era baharu apa kalau yang mintak rakyat bagi dia duit? Baik keluarkan dia punya tabung … kononnya nak mintak duit… dah tak ada duit sekarang minta dekat rakyat pula sedangkan rakyat yang perlukan bantuan,” katanya.

Jelas beliau, sebagai pemimpin, sewajarnya Ahli Parlimen Putrajaya bertanggungjawab dengan menyalurkan bantuan kepada rakyat khususnya apabila pelbagai keluhan yang berlaku.

“Rakyat perlukan bantuan, bukan penipuan. Dia dah menang dan dah jadi wakil rakyat maka sepatutnya dia laksanakan janji-janji. Jangan perdayakan rakyat jika tak mahu atau tak mampu nak tunaikan apa yang dilakukan.

“Sudah-sudahlah menipu, jangan guna macam-macam alasan kononnya bukan kerajaan pusat atau macam-macam lagi. Jangan nak lepas tangan setelah menyalurkan macam-macam sewaktu kempen PRU dulu, dah menang maka bekerjalah untuk rakyat, bukan lepas tangan atau dengan mudah minta rakyat pula bagi sumbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Meriahkan Raya bersama Pergerakan Pemuda/Puteri UMNO Putrajaya, semalam.

Jelas beliau, rakyat hari ini bukan hanya tertekan dengan kenaikan harga barangan keperluan malah musim perayaan juga menuntut mereka untuk menyediakan pelbagai barangan perayaan, ditambah lagi dengan musim awal persekolahan baru sahaja selesai bulan lalu.

“Rakyat di Putrajaya ini ramai penjawat awam yang kebanyakannya mempunyai purata pendapatan yang tidak tinggi. Begitu juga dengan para peniaga yang juga ramai mengeluh,” jelasnya.

Ujar Tengku Adnan, beliau simpati dengan nasib rakyat lantaran menerima musibah akibat kegagalan Ahli Parlimennya menjalankan tugas dengan baik.

“Apa boleh buat, nasi dah menjadi bubur. Kita terimalah natijah daripada pilihan dalam PRU lalu namun sebagai pemimpin UMNO, sememangnya tekad perjuangan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ tetap dilaksana kerana ia adalah manifestasi kewujudan UMNO.

“UMNO ini adalah perjuangan yang berteraskan rakyat, dari rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat. Moga kita kembali bangkit, bersatu perkuat kembali UMNO Putrajaya dan raih semula sokongan pengundi untuk masa hadapan,” katanya.

Terdahulu dilaporkan komuniti Putrajaya diminta memberikan sumbangan atas nama ‘Putrajaya Care: Pusat Khidmat Parlimen Putrajaya’ dengan tema ‘Bersama Kita Bangunkan #EraBaharuPutrajaya’.

Keadaan ini julung kali berlaku bagi di Putrajaya kerana sebelum PRU15 warga Putrajaya sering kali mendapat agihan bantuan sama ada dalam bentuk barangan keperluan atau sumbangan wang ringgit oleh kepimpinan dahulu yang lebih akrab dengan panggilan ketua kampung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, namun kali ini keadaannya adalah sebaliknya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.