Kerajaan Perlu Ambil Tindakan Sewajarnya Kawal Harga Barangan – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 16 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Hasmuni Hassan berharap isu harga barangan hari ini bukan sahaja dipantau oleh pihak yang berkaitan malah diambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya.

Menurut beliau soal tersebut tidak cukup sekadar dengan majlis ritual rasmi dan pengumuman sahaja sebaliknya kerajaan perlu bertindak dan menguatkuasakan sebarang dasar serta skim supaya kesannya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.

“Kita boleh ucapkan terima kasih apabila kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) umumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2023 yang akan bermula 13 sehingga 30 April depan.

“Namun, dalam isu harga barangan ini, kita merasakan tidak cukup dengan majlis ritual rasmi-rasmian dan pengumuman sahaja. Kerajaan perlu bertindak dan menguatkuasakan sebarang dasar dan skim supaya isu berkenaan dapat ditangani sebaiknya,” dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, atas kertas mungkin sahaja semuanya nampak indah dan cantik secara teorinya, tetapi rakyat yang mengeluarkan ringgit dan sen merasai keperitannya apabila harga barangan menjadi tidak terkawal dan dijual dengan harga sesuka hati.

Tambahnya lagi rakyat bukan sahaja mahukan “harga rahmah” tetapi tindakan dan penguatkuasaan juga kena ramah dan selalu dilakukan supaya pelaksanaannya berkesan.

“Kita tahu kesan rantaian apabila tekanan harga diberikan oleh pengeluar atau pembekal, pemborong dan peruncit. Jika kos mereka pun meningkat, mereka akan kenakan tekanan itu kepada pembeli pula.

“Jadi, disinilah peranan kerajaan untuk campur tangan dan melihat perkara ini dengan tegas dan tuntas. Apa guna kerajaan diberikan kuasa oleh rakyat jika tidak mampu membela rakyat?

“Trend berbelanja rakyat pada raya kali ini dilihat sangat sederhana dan berhati-hati. Mereka baru sahaja berhabisan apabila sesi persekolahan dibuka pada Mac lalu. Kemudian tiba pula Ramadan dan kini Syawal pula akan menjelma. Semua itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada rakyat kerana hidup memerlukan perbelanjaan,” ujarnya-UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.