Kekuatan UMNO Berpaksikan Akar Umbi, Jangan Berpecah Lagi – Dr Asyraf

KOTA BHARU, 16 April – Kekuatan UMNO berpaksikan keteguhan dan kesetiaan akar umbi parti dan hakikat ini tidak boleh dipertikaikan lagi, kata Setiausaha Agung (SUA) UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Kata beliau lagi permuafakatan ahlinya di pelbagai peringkat termasuklah di peringkat akar umbi sudah terbukti dan walaupun ada yang cuba mengingkarinya namun akhirnya kembali bertaut semula dengan UMNO.

“Kita jangan berpecah lagi yang mana pemilihan UMNO baharu berakhir baru-baru ini maka ahli UMNO harus bertaut semula dan tarik balik penyokong-penyokong yang setia menyokong kita selama ini. Duduk sekali dengan mereka dan yang keruh lagi keadaan dan kita jernihkan kembali serta ambil pengajaran yang lepas.

“Kita kena pastikan kekuatan UMNO ini sebagai satu pasukan yang kuat dan perbalahan itu adalah biasa tetapi jangan melebih. Manfaatkanlah apa yang kita ada untuk memperkukuhkan lagi parti kita.

“Paling bagusnya di UMNO Bahagian Pasir Puteh ini tidak ada berlawan antara satu sama lain dan ianya berbeza dengan tempat-tempat lain. Kali ini UMNO akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan kena cari jalan yang terbaik untuk parti,” beliau berkata demikian pada perjumpaan Jawatankuasa UMNO empat Peringkat Pasir Puteh, malam tadi.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk, Zawawi Othman, Ketua Wanita UMNO, Marsila Ali, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Saifullah Ali, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Engku Juliani Engku Mokhtar dan kepimpinan empat peringkat UMNO bahagian Pasir Puteh.

Tambah Dr Asyraf, jawatan yang ada perlu dimanfaatkan  untuk menguatkan parti dan akhirnya menjaga institusi-institusi terutama untuk membela orang Melayu Islam dan seluruh rakyat Malaysia.

“Mudah-mudahan kita semua diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT dengan memastikan kita semua penuh bersemangat untuk terus berjuang di dalam parti keramat UMNO ini,” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.