PRN : 80 Peratus Agihan Kerusi BN-PH Selesai : SUA UMNO

KOTA BHARU, 15 April – Pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sudah mencapai 80 peratus, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata baki 20 peratus lagi masih memerlukan perincian sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.

“Secara umumnya, 80 peratus kita sudah ada satu kesefahaman, cuma ada 20 peratus lagi yang memerlukan perincian dan kita nampak tidak ada masalah besar dalam perundingan, suasananya cukup positif dan sudah tentu setiap badan gabungan perlu kembali kepada parti masing-masing.

“Itu sahaja boleh saya katakan, selebihnya kita tunggu apabila kita sudah memuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas  Majlis Makan Colek Bersama Media Kelantan, di sini malam tadi.

Sementara itu beliau berkata UMNO melihat PRN melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan pada tahun ini menjadi ‘ujian litmus’ pertama kerjasama dan persefahaman buat BN dan PH di peringkat persekutuan menerusi Kerajaan Perpaduan.

Katanya sifat realistik penting dan PRN dijadikan pentas pertama bukan sahaja menguji tetapi mahu melihat perkara yang boleh ditambah baik.

“Paling penting kerajaan yang ada perlu stabil dari segi ekonomi, pembangunan sosial. Disebabkan perbalahan politik lebih empat tahun lalu Malaysia sudah jauh ketinggalan berbanding dengan negara jiran,” katanya.– BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.