Tindakan Kerajaan Kedah Dipersoal, Pemasangan Kain Rentang Tidak Lulus Tanpa Gambar Penyelaras DUN

BANDAR BAHARU, 14 April – Keputusan kerajaan Negeri Kedah berkaitan beberapa syarat baharu yang ditetapkan melibatkan pemasangan kain rentang di negeri tersebut dikesali malah menimbulkan kesulitan dan mengelirukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, Mesyuarat Exco minggu lalu memutuskan bahawa setiap kain rentang yang dipamerkan harus menyertakan imej pimpinan kerajaan negeri Kedah termasuk bagi ucapan sempena Hari Raya Aidilfitri untuk mendapatkan lesen pemasangan.

“Saya sudah mencetak kain rentang lebih awal namun tidak dapat dipasang susulan dari arahan terbaharu ini.

“Kita faham kalau ia melibatkan kepimpinan yang terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan. Namun apa rasional kami ADUN pembangkang perlu menyertakan wajah penyelaras DUN bagi tujuan sama,” soalnya.

Jelas beliau, ADUN pembangkang tidak mendapat peruntukan dari kerajaan negeri dan semua peruntukan disalurkan kepada Penyelaras DUN melalui Exco angkat malah penyelaras DUN tidak mempunyai perintah tetap dalam pentadbiran kerajaan.

“Sampaikan kain rentang ADUN juga terpalit sama dengan arahan ini, menunjukkan mesej yang jelas tidak dikeluarkan kepada pihak pentadbiran pelbagai peringkat di dalam kerajaan negeri dan cuba dipolitik kan.

“Saya harap ADUN-ADUN tidak perlu terikat dengan perkara berkaitan pentadbiran kerajaan yang sedikit ‘terusik’ dengan Kerajaan Persekutuan. Apakah relevan dan locus standy penyelaras DUN telah disamakan syarat ini,” katanya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menetapkan terma “Syarat-syarat lain yang dikuatkuasakan oleh PBT juga mestilah sentiasa dipatuhi.”

Sebelum ini, Sanusi dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat exco memutuskan pihak yang berhasrat memasang Billboard atau iklan yang memaparkan gambar dan slogan pemimpin negara di kawasan-kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mestilah memohon lesen iklan daripada pihak PBT dan menyertakan gambar pemimpin dan slogan negeri.

Contohnya billboard yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan slogan “Malaysia Madani” mestilah disertakan dengan gambar Menteri Besar Kedah dengan slogan “Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua” dengan saiz dan tataletak sewajarnya.

Demikian juga billboard yang memaparkan gambar Menteri dan Timbalan Menteri, perlu disertakan dengan gambar EXCO Kedah yang memegang portfolio berkaitan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.