Puteri UMNO Santuni Masyarakat Dengan ‘Bazar Ramadan Attack’ Dan ‘Puteri Berniaga’
KUALA LUMPUR, 14 April – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah menonjolkan kelainan dalam menyantuni rakyat pada bulan Ramadan ini dengan mengadakan program ‘Bazar Ramadan Attack’ dan ‘Puteri Berniaga’.
Ketua Penerangannya, Shamellya Norazizi berkata, kedua-dua program ini diadakan bertujuan untuk membantu pengunjung dan juga peniaga di samping berkongsi rezeki di bulan mulia.
“Sebenarnya program Penerangan Pergerakan Puteri UMNO pada bulan Ramadan ini ada dua. Pertama, Bazar Ramadan Attack dan kedua Puteri Berniaga. Program Bazar Ramadan Attack ini bertujuan untuk membantu para pengunjung dengan memberikan makanan secara percuma.
“Ada dua kaedah dijalankan untuk program ini iaitu pertamanya, kita akan cari mana-mana peniaga yang kurang mendapat sambutan dan kita akan beli kesemua makanan dijual. Selepas itu, kita berikan makanan tersebut kepada para pengunjung,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, dua program tersebut merupakan salah satu cara Pergerakan Puteri UMNO memperkenalkan diri dan lebih dekat dengan masyarakat.
“Ini adalah antara pendekatan yang dilakukan oleh Puteri UMNO membantu sambil beramah mesra bersama pengunjung di bazar tersebut. Sebelum ini kita juga ada buat program seperti agihan bubur lambuk dan kurma di kawasan awam seperti di stesen-stesen kereta api misalnya.
“Pada kali ini, kita cuba tonjolkan sedikit kelainan dalam usaha kita mendekati masyarakat. Alhamdulilah, kami menerima reaksi yang sangat memberangsangkan daripada peniaga dan juga pengunjung semasa program tersebut dijalankan.
“Mereka menyambut baik inisiatif kami dan ini bermakna kita boleh mendekati pelbagai lapisan masyarakat terutamanya dalam menyampaikan isu-isu semasa,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Shamellya turut berharap agar usaha penjenamaan semula Puteri UMNO ini dapat dijalankan dengan sebaiknya terutamanya dalam mendekati masyarakat pelbagai lapisan.
“Harapan saya mahu melihat agar Pergerakan Puteri UMNO ini dapat ‘rebrand’ semula kerana agak susah sebenarnya sekiranya kita telah menjalankan tugas dengan baik di kawasan mahupun bahagian, tetapi rakyat tidak nampak.
“Kita teruja untuk memberi semangat agar semua Puteri UMNO terus menyumbang apa yang mereka ada. Contohnya, kalau ada pakar-pakar profesional ataupun usahawan dalam sayap ini, kita mahu meraikan pendapat dan kehadiran mereka agar dapat menyumbang dalam bidang masing-masing,” katanya lagi. – UMNO Online