Perkasa Parti, Tarik Sokongan Orang Muda Antara Agenda Utama – Mohd Ariff

 

MACHANG, 14 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid berkata pengalaman beliau dalam kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO pada penggal lepas akan digunakan sebaiknya sebagai agenda memperkasa parti.

Katanya, ini termasuk dalam merangka strategi dalam menarik kembali kepercayaan rakyat terutama golongan muda kepada parti keramat ini.

“Saya akan membawa suara orang muda dan memberi penekanan berkenaan isu-isu berkaitan pendidikan, sosial, kebajikan mereka. Kita pun tahu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) orang muda ramai menolak Barisan Nasional (BN) jadi hari ini kita akan buat post-mortem dan kajian lebih teliti.

“Perkara ini saya akan suarakan di bahagian dan peringkat tertinggi tentang kehendak orang muda mengikut keadaan semasa dan masa hadapan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Mohd Arrif dalam pada itu turut sama meluahkan penghargaan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi kepercayaan kepada dirinya sebagai MKT lantikan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas turut sama menyeru ahli parti untuk bersama memperkukuh semangat kekeluargan UMNO terutama selepas melalui Pemilihan UMNO 2023/2026 baru-baru ini.

“Kepada semua yang menang saya ucapkan tahniah dan kalah mengharapkan kita semua bersatu kembali untuk membawa perjuangan agar rakyat dan ahli UMNO melihat kita dalam satu pasukan.

“Ini penting bagi meneruskan perjuangan hak rakyat dan teruskan agenda parti kita untuk terus relevan di masa akan datang dan paling penting bagi saya ialah untuk kita menang kembali hati rakyat pada PRU16 nanti,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.