Wanita UMNO Hargai Keprihatinan China Beri Sumbangan Ramadan, Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 13 April – Wanita UMNO Malaysia melahirkan penghargaan kepada China yang komited dan prihatin kepada rakyat di negara ini menerusi bantuan dihulurkan khususnya kepada golongan kurang berkemampuan terutama ketika Ramadan dan menjelangnya Syawal.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, tidak dapat dilupakan juga apabila China memberikan bantuan keperluan perubatan ketika Malaysia bergelut dengan penularan wabak COVID-19 beberapa tahun lalu.

“China telah membuktikan bantuan kepada Malaysia, terutamanya semasa pandemik COVID-19. Bukan sahaja mereka memberi bantuan perubatan kepada sektor kerajaan malah kepada pelbagai badan bukan kerajaan, UMNO tidak terkecuali.

“Kini pihak kedutaan telah hadir dengan membantu anak-anak yatim, ibu tunggal dan yang kurang bertuah sebelum Syawal.

“Saya secara peribadi ingin merakamkan penghargaan yang ikhlas kepada Kedutaan China atas kebajikan mereka, semoga ia tidak berhenti di sini sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Bantuan Ramadan Syawal Kedutaan China yang berlangsung di Rumah Titian Kaseh di Titiwangsa, pagi tadi

Bantuan keperluan asas tersebut diberikan oleh Menteri-Kaunselor kepada 300 penerima yang terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan ansaf sebagai meringankan beban mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Dr Noraini juga berkata hubungan yang sudah lama terjalin di antara kedua buah negara ini sangat signifikan apatah lagi termeterai sejak kepimpinan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

“Bermula sudah lama sejak Tun Razak dan baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada melakukan kunjungan dan kita dari segi perdagangan juga banyak yang dijalinkan kerana China negara paling banyak buat perdagangan dengan Malaysia.

“Sudah semestinya kita perlu saling membantu jadinya saya melihat bahawa pemimpin UMNO terutama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak banyak bekerjasama dan menjalinkan hubungan baik dengan China dan kerana itulah mereka datang untuk membantu dan sangat dialu-alukan,” ujar beliau.

Dalam pada itu Dr Noraini ketika ditemui media turut sama memaklumkan bahawa Wanita UMNO di akar umbi seluruh negara juga komited meneruskan bantuan kepada rakyat yang kurang bernasib baik.

“Wanita memang sentiasa melakukan program di akar umbi dengan melaksanakan bantuan kebajikan seperti hari ini sebab kita ’empowered’ semua wanita untuk melaksanakan di bahagian masing-masing.

“Setakat ini Wanita UMNO Malaysia akan terus membantu memberikan sumbangan, semalam pun banyak dilaksanakan bantuan, kita juga ada melawat gelandangan dengan memberikan sumbangan,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.