SUA Santuni Kakitangan Ibu Pejabat UMNO… ‘The Unsung Heroes’ Teruskan Perjuangan

KUALA LUMPUR, 13 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyantuni seramai 194 kakitangan Ibu Pejabat UMNO yang telah menabur khidmat bakti kepada parti khususnya untuk memudahkan segala urusan pentadbiran.

Perjumpaan tersebut diadakan buat kali pertama selepas Dr Asyraf Wajdi dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO selepas musim pemilihan bagi penggal 2023/2026.

Bertempat di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, perjumpaan ini dihadiri oleh seluruh warga kerja UMNO yang sentiasa setia berkhidmat dalam apa jua keadaan sama ada jatuh ataupun bangun parti.

Beliau turut berpesan kepada semua kakitangan agar terus menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berdedikasi bagi memastikan segala urusan parti berjalan lancar seiring situasi politik yang semakin mencabar.

Majlis tersebut diakhiri dengan sesi fotografi bersama para kakitangan dan ucapan hari raya secara berkumpulan.

Sementara itu, beliau menerusi hantaran di Facebook turut sama menganggap kakitangan ibu pejabat sebagai the unsung heroes dalam meneruskan perjuangan parti keramat ini.

“Mereka ini benar-benar the unsung heroes atau wira yang tidak didendangkan di dalam UMNO. Kalah menang pilihan raya, mereka kekal bangga dan setia.

“Seringkali kita hanya bercakap mengenai kepimpinan parti, namun hari ini, sebagai menghargai penat lelah dan keringat mereka berjuang untuk wadah UMNO ini, mereka juga wira parti kita,” ujar beliau.

Dalam kesempatan tersebut, beliau juga menyampaikan amanat dan visi kepimpinan parti di dalam mendepani cabaran dan dinamika arus politik semasa.

Beliau turut dimaklumkan bahawa ada kakitangan UMNO yang bertugas lebih 37 tahun iaitu sejak dari zaman UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkerajaan dan kemudian hilang tampuk pentadbiran, menjadi sebahagian daripada kerajaan serta hari ini dalam Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.