Perteguh Perpaduan, Wajah Baharu Kepimpinan Bahagian Beri Manfaat UMNO/BN

KUALA LUMPUR, 13 April – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi berharap Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi rakyat untuk memilih parti yang kompetan dalam melakukan urus tadbir negeri.

Bercakap khusus membabitkan negeri pantai timur, Kelantan, beliau berkata UMNO/Barisan Nasional (BN) wajar diberikan peluang memandang sebahagian kepimpinan di bahagian dikemudi oleh wajah baharu.

“Gerak kerja kita dalam menghadapi PRN masih berterusan namun jika menang dan tukar kerajaan itu adalah bonus untuk kita.

“Saya yakin dengan perubahan ketua-ketua bahagian selepas pemilihan lalu, daripada 14 bahagian banyak muka baharu yang naik.

“Kerana bila ada muka baharu idea dan gerak kerja mungkin berbeza jadi besarlah harapan apabila melihat orang muda menjadi ketua bahagian ini akan membawa UMNO dengan lebih baik terutama apabila menghadapi PRN ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Mengulas lanjut berkenaan kesiapsiagaan parti, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu itu berkata perpaduan dalam kalangan ahli parti amat penting diperkemaskan.

Katanya ini kerana, pasca Pemilihan 2023/2026 menyaksikan perasaan bercampur baur dalam kalangan kalangan pemimpin yang bertanding.

“Seperti yang semua tahu apabila berlakunya pemilihan dalam parti ini sudah tentu akan berlaku sedikit perpecahan kerana kalah itu merasa kecewa manakala menang rasa lebih daripada yang kalah tetapi menang tidak menang semua, kalah tidak kalah semua.

“Jadi saya secara peribadi berharap selepas daripada pemilihan ini yang menang mungkin boleh ambil kira macam mana cara untuk merapatkan kembali kerana kita ini masih lagi ahli UMNO dan menyayangi parti ini.

“Jadi difikirkan secara logik sekiranya seseorang itu menawarkan diri untuk bertanding maksudnya dia ada idea dan perancangan hendak dibawa jadi pihak menang boleh ambil kira pandangan pihak yang kalah juga.

“Harapan saya dengan berlakunya proses demokrasi pemilihan parti ini secara tidak langsung akar umbi akan memilih pemimpin yang baharu untuk membawa UMNO satu tahap yang lebih baik,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.