MB Kedah Digesa Hentikan Sandiwara Politik – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 13 April – Menteri Besar Kedah, Datuk Muhammad Sanusi Md Noor disaran agar menghentikan sandiwara politik termasuklah membuat spekulasi serta kenyataan berkenaan sesuatu yang tidak pasti dan tidak sahih.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy ZainoL Abidin berkata, sebagai contoh isu Majlis Kewangan Negeri yang dikatakan wujud komplot untuk mengetepikan beliau dan sebagainya adalah perkara yang tidak seharusnya dibangkitkan.

“Berhentilah membuat spekulasi atau kenyataan berkenaan sesuatu yang tidak pasti. Jangan sampai peristiwa 120k berulang kembali. Hal yang lebih penting, Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai perdana menteri atau mana-mana menteri dilantik manakala setiap negeri diwakili individu diperkenan Sultan atau Yang Di-Pertua Negeri.

“Tidak wajar menuding jari menuduh kerajaan hari ini berkomplot untuk mengetepikan beliau sedangkan kerajaan hari ini tiada kuasa muktamad untuk menentukan wakil negeri. Di sisi Perlembagaan, kuasa muktamad terletak di tangan DYMM Sultan Kedah apabila hanya Baginda boleh memperkenan wakil Negeri di dalam Majlis Kewangan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Shaiful yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok seterusnya mencabar MB Kedah untuk mendedahkan butiran surat yang kononnya wujud usaha-usaha untuk menyingkirkan beliau.

“MB perlu menghentikan sandiwara politik yang akhirnya menunjukkan beliau tidak benar-benar faham peruntukan undang-undang. Saya cabar MB dedah butiran surat yang kononnya melobi agar beliau di singkirkan daripada keanggotaan Majlis Kewangan Negara. Ini adalah satu pertuduhan dan spekulasi yg sangat berat dan serius,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.