Hentikan Kritikan, Jadikan Ramadan Bulan Pertingkat Ibadah – Siti Aminah

KUALA PENYU, 13 April – Jadikan Ramadan tahun ini sebagai peluang menetapkan semula atau ‘reset’ kehidupan untuk beribadah kepada Allah SWT dan hentikan pelbagai kritikan yang tidak membina.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Siti Aminah Aching menasihatkan umat Islam agar menggunakan peluang ini bagi menguruskan masa dengan betul dan menjadikan ibadah sebagai rutin harian.

“Bulan Ramadan sebenarnya bukan hanya untuk orang beriman sahaja berpuasa, kita perlu tukar pemahaman kita dengan mengaplikasi Ramadan ini sebagai masa untuk menjadi lebih baik.

“Berpuasa ini sebenarnya adalah ‘reset’ semula kehidupan kita, kadang-kadang pelbagai aktiviti yang pernah kita lakukan namun pada bulan ini mungkin ada aktiviti tertentu yang tidak perlu lagi dibuat maka buanglah daripada rutin harian,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian semasa berucap pada majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Nurhidaya Kampung Palu-Palu, dekat sini, semalam.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Kuala Penyu, Joumat Bisnim; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Jaludin Kadir; Ketua USIA Bahagian Kuala Penyu, Awang Hashim Awang Damit dan Pengerusi Masjid Nurhidaya Kampung Palu-Palu Mardan Dahlan.

Menurut Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort, orang ramai khususnya masyarakat Islam dinasihat untuk menghentikan kritikan sesama mereka sebaliknya menjadikan Ramadan ini sebagai titik perubahan ke arah lebih baik.

“Berpuasa itu bukan sekadar menahan dari lapar dan dahaga semata-mata, malah perbuatan kita, percakapan lisan, penulisan kita termasuk di media sosial, apa lagi tohmahan dan sebagainya perlu dihentikan kerana ia juga boleh mengurangkan pahala puasa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar umat Islam menggunakan masa untuk meningkatkan amalan ibadah.

“Apa yang penting kita cuba yang terbaik apabila kita sedang tidak melakukan apa-apa contohnya pada waktu lapang, kita perlu ingat kepada Allah SWT.

“Kita selalu menasihatkan pada diri kita, apabila ada masa terluang selalu ingat kepada Allah. Jadi pada bulan Ramadan ini, kita dijemput oleh-Nya untuk mendekati-Nya,” katanya lagi.

Pada majlis tersebut Aminah juga turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan buah kurma kepada empat masjid dan sembilan buah surau di kawasan daerah Kuala Penyu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.