Aplikasi Ramadan Pastikan Perjuangan UMNO Kembali Kukuh – Syahher Redzha

KUALA LUMPUR, 13 April – Kesungguhan memastikan perjuangan UMNO terus bersemarak dengan tekad mengembalikan parti kukuh demi agama, bangsa dan negara tidak pernah padam.

Hal ini direalitikan oleh Pemuda UMNO Bahagian Pengerang yang mengaplikasi pelbagai pendekatan sebagai bukti bahawa parti ini tetap ampuh dalam khidmat kepada rakyat setiap masa.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Mohd Syahher Redzha Malik memaklumkan bahawa aplikasi turun padang dan mendekati masyarakat setempat tetap dilaksana termasuklah dalam bulan Ramadan.

“Alhamdulillah, kami Pemuda UMNO Bahagian Pengerang dapat menyantuni masyarakat dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka yang kesusahan dan ditimpa masalah, moga sedikit sebanyak sumbangan yang dihulurkan akan dapat membantu meringankan beban khususnya menjelangnya Aidilfitri,” katanya.

Dalam hal ini Mohd Syahher Redzha mengakui bahawa UMNO sememangnya mendepani pelbagai cabaran namun beliau yakin atas semangat kesatuan dan kebersamaan yang ditunjukkan dalam kepimpinan UMNO pasca-pemilihan maka tentunya apa-apa rintangan dapat diharungi.

“Sememangnya kami dalam Pemuda UMNO mengakui bahawa masalah dan laluan kita amat mencabar, masa hadapan yang sukar diramal, berdepan arus moden dengan pemikiran masyarakat yang banyak dipengaruhi anasir pelbagai.

“Sungguh, komitmen bagi mengembalikan sokongan terhadap UMNO khususnya orang muda tergalas di bahu tiap ahli khususnya kami golongan muda, inilah perjuangan kami iaitu meletakkan nilai parti dengan tekad terus bersatu, bersetia dan berkhidmat.

“Benar bahawa UMNO memerlukan idea yang segar dan pandangan yang baharu dari semua pihak khususnya golongan muda yang mempunyai latar belakang berbeza-beza maka ruang dan peluang yang ada sekarang ini akan diaplikasi dan diperluas dengan menggunakan pelbagai pendekatan, insyaAllah.”

Sehubungan itu, beliau mengaplikasi Ramadan sebagai masa terbaik mengukuhkan perpaduan dan silaturrahim yang bukan hanya dikalangan anggota parti tetapi juga masyarakat setempat.

“Kami sedar bahawa agenda bagi memperteguh UMNO mestilah selari dengan azam memantapkan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana sedar bahawa kejayaan sebagai sebuah parti politik diukur dengan kemenangan dalam pilihan raya.

“Tidak ada gunanya kami bermegah sedangkan BN tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU), malah lebih teruk lagi apabila persepsi yang berlegar kononnya UMNO ditolak oleh golongan muda tidak mampu disangkal. Kerana itulah, kami Pemuda UMNO Pengerang bertekad bekerja dan terus bekerja,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Mohd Syahher Redzha adalah kepimpinan wajah baharu UMNO yang mengambil alih tampuk Ketua Pemuda Pengerang tanpa pertandingan dalam Pemilihan UMNO pada 11 Mac lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.