UMNO Kinabatangan Terus Konsisten Bantu Rakyat

KINABATANGAN, 12 April – UMNO Bahagian Kinabatangan akan terus memainkan peranan serta tanggungjawabnya di kawasan tersebut meskipun kini wujud penubuhan parti baharu di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau dan Lamag.

Ketuanya Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata UMNO bahagian itu tidak akan tergugat dan akan terus memberikan tumpuan untuk membela rakyat di kawasan tersebut di mana ianya diwakili oleh wakil rakyat dari UMNO meskipun di peringkat negeri statusnya seperti parti pembangkang.

“Ini bukan kes pertama berlaku terhadap UMNO kerana berdasarkan sejarah, sudah beberapa kali parti terbesar negara ini melalui pengalaman sedemikian dan UMNO akan akan terus relevan kepada rakyat Malaysia berdasarkan asas penubuhan parti itu sendiri yang berasakan perjuangan disifatkan luar biasa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Daerah Kinabatangan dan diminta mengulas penubuhan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di DUN Sukau dan Lamag.

Menurut Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah proses demokrasi perlu dihormati dan sesiapa pun berhak menubuhkan parti baharu atau menyertai mana-mana parti lain tanpa sebarang kekangan yang pada akhirnya apabila rakyat akan menentukan semasa pilihan raya parti mana yang terbaik mereka sokong.

“Yang masih setia dengan prinsip perjuangan bersama UMNO kita teruskan perjuangan fokus kepada peranan dan tugas masing-masing memperkasakan parti membantu rakyat di semua peringkat.

“Rakyat mempunyai banyak pilihan terserah kepada penilaian mereka, lagi pun mereka yang menyertai parti baharu ini satu ketika dahulu adalah rakan-rakan seperjuangan kita yang setidak-tidaknya sedikit sebanyak dapat merasai nikmat ketika bersama dalam UMNO,” katanya.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, parti yang ditubuhkan berasaskan kekecewaan tidak akan ke mana kerana baginya berdasarkan pengalaman dan sejarah beliau percaya UMNO akan terus kekal relevan dulu, kini dan selamanya kerana ia berasaskan perjuangan luar biasa antara ahli serta pemimpin.

Mengulas lanjut Bung turut menafikan berlaku perpecahan dalam UMNO, sebaliknya pergolakan ditimbulkan sesetengah pihak yang kecewa.

“Saya tidak nampak ada perpecahan dalam parti, malah UMNO berani mengenakan tindakan tatatertib kepada mana-mana ahli atau pemimpin yang bermasalah.

“Perkara ini berbeza dengan apa yang berlaku kepada parti lain kerana jika dilihat penubuhan parti serpihan daripada UMNO diwujudkan selepas individu terbabit kecewa kerana kepentingan peribadi,” katanya lagi.

Majlis anjuran UMNO Bahagian Kinabatangan dan Pusat Khidmat Parlimen Kinabatangan itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua UMNO Datuk Jafry Arifin dan Naib Ketua Pg Aziz Pg Damash.

Seramai 1,245 orang dari Kawasan DUN Lamag yang terdiri dari golongan asnaf, pelajar tahfiz Ar-Rahmah dan anak yatim menerima sumbangan dari Bung pada majlis tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.