Mereka Yang Tinggalkan Parti Adalah Golongan Yang Tewas Dalam Perjuangan

SANDAKAN, 12 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, mereka yang meninggalkan parti adalah golongan yang tewas dalam perjuangan dan tiada nilai perjuangan yang boleh diteladani daripada mereka berkenaan.

Menurut beliau apa yang benar dalam perjuangan ialah mereka yang mengambil tanggungjawab dan yang bertahan teguh pada prinsip serta pendirian biar apa pun kesukaran dan cabarannya.

“Pertama, tindakan lari dari parti jelas menunjukkan sisi sebenar diri mereka yang selama ini kita tidak ketahui. Tidak usah kita risau. Mereka yang lari dari wadah perjuangan ini tidak akan merugikan kita. Sudah lumrah, ibarat sebuah perkahwinan, jika takdirnya adalah perpisahan, maka berpisahlah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian sebagai mengulas kenyataan media Ketua Menteri yang juga Pengerusi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat-GRS) Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bahawa GRS terbuka menerima tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang dipecat.

Tiga ADUN yang dipecat itu ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).

Menurut Bung GRS pada bila-bila boleh mengambil bekas pemimpin UMNO yang khianat kepada parti, malah sebelum ini dalam kenyataan mereka tiga ADUN yang terlibat sudah menyatakan sokongan mereka kepada Hajji sekali gus menyokong GRS.

“Apapun sebelum pemecatan dibuat perkara ini telah dirujuk kepada Lembaga Displin parti dan dikeluarkan surat tunjuk sebab, namun mereka enggan berhadapan dengan Lembaga Displin dan selepas itu perkara ini dirujuk kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi sebelum pemecatan dilakukan, kita mengikut prosiduer parti yang ditetapkan,” jelas Bung.

Menurut Bung dalam setuasi ini UMNO khususnya UMNO Sabah akan merasa lebih selamat bersama pemimpin dan ahli yang memiliki prinsip kesetiaan dalam parti daripada menyimpan pemimpin yang seperti ‘gunting dalam lipatan’.

Bung menambah apa pun cabaran yang berlaku UMNO Sabah perlu meneruskan langkah ke hadapan, tanpa meratapi pemergian mereka yang sudah tidak lagi sudi bersama UMNO di mana ketidaksudian mereka ini menzahirkan kelemahan prinsip, etika, semangat dan jati diri.

“Paling menyedihkan dan dikesalkan, dalam semua perkiraan ini (wang, pengaruh, jawatan dan kuasa) tidakkah sedikit pun mereka ini fikir tentang satu perkara yang paling penting?

“Iaitu rakyat dan pengundi yang mengangkat mereka. Apakah rakyat dan pengundi adalah perkiraan paling akhir dalam membuat keputusan? Sehinggakan undi yang mereka buang atas nama parti asal mereka itu (UMNO) sedikit pun tidak bernilai,” tegas Bung.

Bagi Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan yang lebih penting sekali, orang perjuangan tidak akan pernah lari daripada perjuangan asalnya, yang menjadi tunjang kepada pegangan dan prinsipnya apatah lagi UMNO merupakan parti keramat yang lahir dari suara rakyat serta dibina atas semangat perjuangan bukan atas dasar tamak kuasa.

Menurut Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, tindakan mengalu-alukan pelarian UMNO menunjukkan kerapuhan kedudukan dan sisi sebenar penerimanya.

Bung menambah mungkin ada yang beranggapan bahawa ahli-ahli politik yang telah meninggalkan UMNO, untuk menjadi bebas mahupun menyertai wadah-wadah politik lain, adalah pejuang tapi sebenarnya mereka bukan pejuang mereka adalah golongan yang tewas dalam perjuangan dan tiada sekelumit nilai perjuangan yang boleh diteladani daripada mereka.

Bung berkata apa yang paling menyedihkan dan dikesalkan, dalam semua perkiraan ini yang melompat parti ini ialah wang, pengaruh, jawatan dan kuasa.

Soal beliau lagi, pemimpin yang terlibat apakah tidak sedikit pun mereka terfikir tentang satu perkara yang paling penting iaitu rakyat dan pengundi yang mengangkat mereka.

“Apakah rakyat dan pengundi adalah perkiraan paling akhir dalam membuat keputusan? Sehinggakan undi yang mereka buang atas nama parti asal mereka (UMNO) itu sedikit pun tidak bernilai.

“Kerana golongan ini adalah virus yang selama ini menyakiti dan merosakkan UMNO. Dibiarkan di mana pun mereka berada pasti akan membawa sakit dan rebah. Saya yakin virus-virus penyakit yang selama ini telah membarah di dalam diri mereka ketika bersama UMNO pasti akan menjadi sebahagian daripada darah daging bersama parti baharu yang mereka sertai.

“Mereka akan bawa bersama mereka budaya politik naungan dan wang. Mereka akan mencari segala kesempatan dan ruang bukan untuk berjuang, tetapi mengaut manfaat untuk kepentingan peribadi,” bidas Bung. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.