Wanita UMNO Berperanan Luruskan Kembali Jalur Politik Negara – Rosnah

PAPAR, 11 April – Wanita UMNO perlu akur bahawa parti mempunyai tanggungjawab besar untuk meluruskan kembali jalur politik negara.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shrilin berkata untuk menjadikannya kenyataan, UMNO khususnya Wanita UMNO harus komited memikirkan kelangsungan atau survival parti demi mempertahankan agenda Melayu Islam/ Bumiputera di negara ini.

“Wanita UMNO khususnya di bahagian ini perlu memperkukuhkan kedudukan sebagai tunjang parti dalam menghadapi cabaran dunia politik terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilhan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pertama dan pelantikan jawatan tertinggi Wanita UMNO Bahagian Papar di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Rosnah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO meminta mereka yang dipilih oleh para perwakilan dalam mesyuarat persidangan bahagian baru-baru ini termasuk yang dilantik perlu melihat jawatan terbabit sebagai satu amanah serta tanggungjawab besar bagi memastikan kelangsungan UMNO kekal relevan dan diterima oleh rakyat.

“Tahniah kepada mereka yang dipilih dan dilantik, kita lihat ini sebagai satu amanah serta tanggungjawab besar untuk digalas secara bersama, dapat memberikan khidmat secara profesional dengan penuh dedikasi, amanah, cekap dan ikhlas di samping mendahulukan kepentingan parti dari kepentingan lain,” jelas Rosnah.

Menurut Rosnah, Wanita sebagai tulang belakang UMNO seharusnya lebih fokus pada agenda parti serta tenang dalam apa jua keadaan.

“Sekiranya tulang belakang iaitu Wanita retak atau senget, maka goyahlah UMNO secara keseluruhannya.”

Sehubungan itu Rosnah mahu Wanita UMNO khususnya di bahagian itu berikrar setia bersama parti dan sanggup mengorbankan apa jua kedudukan dan pangkat untuk membuktikan kesetiaan kepada perjuangan parti keramat ini.

Rosnah menambah jalur politik negara semakin mencabar justeru peranan serta strategi yang betul perlu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.

“Bukan kerana kuasa, bukan kerana kerusi. Tetapi, parti keramat ini perlu mendominasi untuk kesejahteraan rakyat, yang sekian lama telah terbukti.

“Jangan sesekali benarkan kerusi yang dimenangi dengan penat jerih Wanita dan jentera parti diberikan lagi kepada pengkhianat yang telah lompat parti,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.