Wajah Segar Pemimpin UMNO Berupaya Tarik Sokongan Golongan Muda – Shamellya

KUALA LUMPUR, 11 April – Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi berpandangan muka baharu yang mendapat tempat pada Pemilihan UMNO baru-baru ini mampu membawa manifestasi tersendiri kepada masa hadapan parti.

Jelas beliau, perkara tersebut sebagai salah satu usaha terbaik parti dalam menarik sokongan rakyat terutama golongan muda bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kelak.

“Tawaran yang diberikan UMNO sekarang lebih segar kita tengok Majlis Kerja Tertinggi, exco Wanita, Pemuda dan Puteri kebanyakannya muka baharu, wajah segar seperti diketahui mereka ini sentiasa aktif di bahagian dan cawangan dan kini di pusat.

“Jadi saya kira ini suatu bentuk tarikan utama dan tawaran terbaik kepada pengundi di luar sana terutama untuk anak muda dekati UMNO.

“Sebab kalau perasan dahulunya kita terlepas pandang isu ini menyebabkan kadang kala orang susah untuk dekati tetapi sekarang tidak lagi kerana kita cuba yang terbaik memberi peluang jadi saya kira untuk mendepani PRN,” katanya.

Mengulas lanjut, pembabitan muka baharu membarisi kepimpinan di peringkat sayap pusat juga memberikan kelebihan tersendiri buat mereka yang berada di akar umbi parti.

Katanya ini kerana ianya memudahkan pemimpin muda akar umbi untuk berkongsi pandangan memandangan rakan-rakan mereka pada ketika ini berada di UMNO pusat.

“Ini adalah salah satu batu loncatan untuk kita bergerak lebih agresif, dahulu sudah sebegitu tetapi sekarang ini double agresif bagi menarik anak muda supaya faham bahawa kita sekarang ini berada dalam kelompok mereka juga.

“Sebab rakan-rakan mereka sudah berada dalam kepimpinan dalam parti, supaya boleh dekati lebih rapat berbanding pemimpin lain yang sudah lama, kerana kadang-kadang rasa segan untuk mendekati pemimpin.

“Jadi apabila bersama dengan kawan itu mereka seronok untuk bercerita atau berkongsi apa sahaja masalah dan kita sendiri yang bersama organisasi, ada peluang untuk bantu mereka daripada segi polisi dan sebagainya,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.