Pertahankan UMNO, Aktifkan Peranan Media Di Semua Bahagian – Bung Moktar

SANDAKAN, 11 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta agar bahagian-bahagian UMNO di negeri ini mengaktifkan peranan media untuk mempertahankan parti dan pemimpin dari serangan tentera siber atau ‘cybertroopers’ parti lawan.

Katanya peranan ini perlu diambil perhatian serius oleh Biro Penerangan di setiap bahagian dan UMNO Sabah telah pun membentuk satu biro baharu iaitu Komunikasi dan Strategik yang juga perlu diwujudkan di semua bahagian.

“Kita perlu aktif dalam pelbagai platfrom media terutamanya media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan portal dalam talian termasuk media cetak bagi mempertahankan pemimpin dan parti apabila diserang oleh parti lawan terutamanya di media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat pertama ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kinabatangan dan majlis angkat sumpah barisan pemimpinnya, semalam.

Menurut Bung, UMNO Sabah menyedari parti lawan telah memanfaatkan kemudahan ini untuk menyerang UMNO termasuklah penguasaan mereka terhadap beberapa portal dalam talian dan difahamkan turut menyediakan dana untuk mereka melaksanakan tugas tersebut.

“Bukan sahaja portal dalam talian di media sosial atau di TikTok, mereka terus menyerang malah turut melibatkan pegawai-pegawai tertinggi pemimpin tertentu seperti setiausaha politik dan pegawai khas dengan membuat pelbagai provokasi dan fitnah di media sosial,” katanya.

Sehubungan itu Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan mahu di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) UMNO diwujudkan kumpulan tentera siber atau ‘cybertroopers’ yang aktif dengan peranan ini dipikul oleh Biro Penerangan, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian serta cawangan sebagai tenaga penggerak utamanya.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, perkara ini penting disebabkan kajian UMNO Sabah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas jelas menunjukkan bahawa parti yang tidak menelaah dan tidak menggunakan kekuatan melalui media sosial akan dikalahkan.

“Realitinya, gambaran politik pada ketika ini telah berubah daripada landskap politik biasa, iaitu setiap parti perlu merungkai dan perlu mencari pendekatan baharu untuk memastikan parti itu akan terus sentiasa relevan dalam berhadapan dengan pilihan raya,” katanya.

Bung Moktar mengakui kelemahan UMNO dalam memenangi banyak kerusi pada PRU dan PRN lepas disebabkan budaya parti itu, yang kebanyakan ahlinya tidak memainkan peranan untuk menghalang dan membela kritikan terhadap pemimpin mereka melalui media sosial.

“Bahkan mereka terikut-ikut dengan rentak pembangkang, (contohnya) apabila sebuah blog atau portal dalam talian menyiarkan bermacam-macam maka orang UMNO sendiri pula ‘discredit’ atau memburukkan pemimpin mereka,” katanya.

Bung Moktar turut menyamakan serangan terhadap pemimpin dalam politik dengan serangan terhadap seorang jeneral dalam peperangan.

“Apabila jeneral dia mati, maka pasukan itu akan lemah,” tambahnya secara metafora.

Oleh itu, beliau berkata kumpulan tentera siber atau ‘cybertroopers’ akan diwujudkan di setiap PDM UMNO dan percaya ia mampu memberikan impak lebih tinggi untuk membantu kekuatan parti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.