Kerajaan Bangunkan Laman Sesawang Khusus Berkaitan Tuntutan Kumpulan Sulu

PUTRAJAYA, 11 April – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan telah membangunkan sebuah laman sesawang yang mengandungi maklumat berkaitan sejarah dan perkembangan semasa tuntutan Kumpulan Sulu yang akan dilancarkan esok.

Laman sesawang “Malaysia-Sulu Case” itu menggunakan lima bahasa iaitu, Bahasa Melayu, Inggeris, Tagalog, Perancis dan Sepanyol hasil usaha Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Luar dan Kementerian Komunikasi dan Digital.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi taklimat bersama media mengenai kes tuntutan Kumpulan Sulu itu di sini hari ini.

Azalina juga berkata fakta kes tuntutan Kumpulan Sulu itu adalah tidak begitu kukuh kerana sehingga kini belum diketahui sama ada mereka yang membuat tuntutan itu benar-benar waris Sultan Jamalul Kiram II.

Katanya asas tuntutan kumpulan berkenaan hanya berdasarkan kepada perjanjian antara Kesultanan Sulu dengan wakil Syarikat Borneo Utara British pada abad ke-19 dalam tulisan Jawi.

Beliau berkata tuntutan pihak Sulu terhadap Malaysia juga mengabaikan kehendak rakyat Sabah untuk menyertai Malaysia pada 1963 seperti yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Cobbold.

Menurut Azalina tuntutan berkenaan melalui timbang tara komersial serta prosiding terhadap Malaysia dibiayai oleh dana litigasi dikenali sebagai Therium untuk menuntut sebanyak US$14.9 bilion daripada Malaysia.

Pada Februari tahun lepas, agensi berita di Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu Dr Gondoza Stampa telah mengarahkan Malaysia membayar pampasan sebanyak AS$14.92 (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.

Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah atau pampasan berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 yang dikatakan telah melanggar Perjanjian 1878 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

Sementara itu dalam taklimat yang sama Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata salah seorang penuntut daripada Kumpulan Sulu yang dikenali sebagai Fuad A Kiram telah diklasifikasikan sebagai pengganas.

Beliau berkata Fuad telah disenaraikan dalam entiti yang diklasifikasi sebagai pengganas di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, berkuat kuasa 6 April lepas.

“Kementerian Dalam Negeri telah memaklumkan bahawa seorang penuntut Fuad A Kiram yang juga salah seorang pengasas Royal Sulu Force iaitu satu kumpulan pengganas, telah diklasifikasikan sebagai entiti pengganas oleh kerajaan,” katanya dalam satu taklimat media di sini hari ini.

Fuad atau nama sebenarnya Muhammad Fuad Abdullah Kiram, 69, merupakan salah seorang daripada lapan individu yang mendakwa waris Kumpulan Sulu dan sedang membuat tuntutan terhadap Sabah termasuk beberapa aset milik Malaysia di luar negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.