Akar Umbi Pilih Pemimpin Miliki Trek Rekod, Pengalaman Terbaik Kemudi Parti

KUALA LUMPUR, 11 April – Akar umbi bijak dalam memilih pemimpin yang mempunyai trek rekod terbaik dalam menjelmakan aspirasi parti.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, kelebihan itu memberikan kelebihan kepada para pemimpin UMNO termasuk dirinya dalam mempertahankan jawatan tersebut pada Pemilihan UMNO 2023/2026 lalu.

“Mungkin atas dasar trek rekod, khidmat bakti, hubungan yang tiada sempadan di semua peringkat, alhamdulillah saya telah dipilih semula menjadi ketua umno bahagian untuk penggal ini.

“Jadi saya melihat perwakilan bijak, tidak dipengaruhi oleh apa-apa faktor bahawa mereka memerlukan pemimpin komited, kompeten dan fokus untuk memimpin bahagian.

“UMNO mendukung prinsip demokrasi walaupun saya calon yang mempertahankan jawatan namun tidak menghalang dan terbuka untuk mana-mana calon yang ingin menawarkan diri untuk bertanding jawatan yang saya sandang ketika ini,” katanya kepada UMNO Online

Mengulas lanjut berkenaan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau berkata banyak pembaharuan perlu dilakukan di semua peringkat.

Namun jelas beliau, keutamaannya pada ketika ini adalah menjaga kesepaduan dalam kalangan jentera parti bagi memastikan gerak kerja menuju PRN kelak berada keadaan baik.

“Pembaharuan bukan hanya di bahagian malah pusat kena ada banyak strategi atau kaedah baharu yang relevan dengan senario ketika ini.

“Maka di bahagian kita telah menggariskan beberapa strategi sebagai persiapan mendepani PRN tetapi soal pokok iaitu memenyatu padukan semua peringkat kerana kita baru lepas Pemilihan maka sudah tentu ada yang kalah dan menang.

“Kami juga menetapkan sasaran untuk strategi bersesuaian untuk PRN namun ia tertakluk kepada keputusan sama ada di bahagian Shah Alam diberikan kerusi untuk BN atau tidak,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Azhari turut sama berkata kepimpinan di Pusat membawa harapan baharu bagi masa hadapan parti yang lebih baik.

“Kepimpinan baharu di peringkat pusat saya melihat gabungan yang lama, berpengalaman dan baharu. Mereka membawa harapan baharu kepada akar umbi dan juga rakyat.

“Gabungan sangat baik dan yakin dengan barisan baharu di peringkat pusat ini saya nampak ianya lebih mantap dan mempunyai idea-idea baharu dan strategi tajam untuk menghadapi PRN di enam negeri,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.