Masjid Tuminah Hamidi Lokasi Akhir Iftar Jamaie Ahmad Zahid Sebelum Ke Tanah Suci

BAGAN DATUK, 10 April – Masjid Tuminah Hamidi menjadi lokasi terakhir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan majlis iftar secara berjemaah bagi tahun ini sebelum berangkat ke tanah suci bagi menunaikan ibadah umrah.

Lebih bermakna lagi, iftar jamaie ini turut disertai oleh Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa yang berkenan untuk mencemar duli bersama warga Bagan Datuk.

Majlis dimulakan dengan menyambut ketibaan dif-dif kehormat iaitu Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selepas itu, majlis diteruskan dengan alunan bacaan ayat suci Al-Quran dan juga tahlil.

Sesudah berkumandangnya azan waktu Maghrib, para jemputan berbuka puasa dengan tamar sebelum mengerjakan solat Maghrib secara berjemaah.

Seusai solat Maghrib, para jemputan menikmati juadah yang disediakan sebelum kembali mengerjakan solat Isyak Dan tarawih.

Masjid Tuminah Hamidi mula dibina pada tahun 2017 dan menelan kos sebanyak RM53 juta, sumbangan dana oleh Yayasan Al-Falah.

Projek ini merupakan ilham dan idea daripada Ahmad Zahid yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk. Masjid ini dinamakan sempena nama ibu bapa beliau iaitu Allahyarham Raden Hamidi Abdul Fatah dan Allahyarhamah Tuminah Abdul Jalil.

Kompleks Masjid Tuminah Hamidi berkeluasan lantai 8,870 meter persegi dan boleh memuatkan sehingga 5,000 orang jemaah dalam satu-satu masa.

Selain daripada bahagian masjid, kompleks ini turut memuatkan sebuah dewan iaitu Dewan Tuminah Hamidi lengkap dengan ruang persalinan dan ruang audio, Khuttab Al-Quran, ruang rehat VVIP dan dataran letak kereta yang lebih luas bagi menampung jemaah dari seluruh Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.