Puteri UMNO Perlu Jadi Sandaran Utama Wanita Muda – Shamellya

KUALA LUMPUR, 9 April – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mahu menjadikan sayap parti ini sebagai sandaran utama bagi wanita muda dalam usaha memperkasakan lagi peranannya, kata Ketua Penerangannya, Shamellya Norazizi.

Katanya ini kerana, perkara tersebut penting dilaksanakan bagi memastikan segala isu membabitkan golongan ini dapat diketengahkan di samping perkongsian berkenaan kefahaman berkenaan isu semasa negara.

“Apa sahaja isu negara sama ada minyak, gangguan seksual dan sebagainya kena fokus kepada orang yang membawa solusi kepada setiap permasalahan tersebut.

“Kalau boleh anak-anak muda perempuan membuat rujukan kepada Puteri di setiap negeri, bahagian dan cawangan untuk bertanya soalan atau mereka boleh bergantung kepada Puteri yang ada di setiap kawasan supaya kenal lebih dan tahu apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Mengulas lanjut Shamellya turut memaklumkan bahawa pendekatan memasuki pusat pengajian juga merupakan salah satu perkara yang dilakukan dalam mendekati golongan ini.

Jelas beliau langkah itu meliputi kesemua lapisan latar belakang pendidikan agar mereka merasa dekat dengan ideologi dibawa UMNO di samping perjuangan didukung parti keramat ini.

“Itu juga salah satu perancangan dalam jangka masa panjang di mana selain hendak tarik wanita muda yang sudah habis belajar atau sudah bekerja, kita juga jangan lupa pengundi muda di universiti, kolej kemahiran, kampung yang mungkin tidak berpeluang menyambung pelajar tapi kita hendak tarik mereka untuk mengetahui tentang isu semasa bersama dengan kita.

“Kalau bercakap berkenaan idea masuk ke universiti dan bergerak seiring dengan mahasiswa, ya itu memang antara agendanya sebab kita pun faham sekarang ini mereka pemegang taruh terbesar dalam pengundian jadi memang kena tarik mereka tak kisahlah dari segi bantuan akademi politik, kewangan, insya-Allah akan terus kepada mereka,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.