Depani PRN… Barisan Kepimpinan Parti Perlu Lihat Realiti Semasa, Bina Naratif Segar – Mohd Imran

KUALA LUMPUR, 9 April – Dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri, barisan kepimpinan parti yang telah dipilih semasa musim pemilihan lalu perlu melihat kepada realiti semasa dan kehendak rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, para pemimpin parti perlu membina sebuah naratif yang lebih segar terutamanya dalam menarik minat anak muda dan pengundi baharu di negeri-negeri tersebut.

“Semua barisan kepimpinan perlu melihat kepada realiti semasa dan juga kehendak serta permintaan. Kita perlu terus menjadi wadah bukan sahaja politik khidmat bakti tetapi sebuah parti yang lebih progresif dan juga inklusif.

“Kita perlu sama-sama membina satu naratif yang lebih segar dalam gerak kerja UMNO bagi menarik minat dan sokongan orang-orang muda serta pengundi baharu. Ini adalah realiti semasa yang kita perlu sama-sama hadapi dan tempuhi,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu turut berpendapat bahawa barisan kepimpinan yang dibentuk daripada pelbagai latar belakang akan dapat memberikan nafas baharu kepada parti.

“Pemilihan UMNO di semua peringkat telah pun selesai dan memperlihatkan kepelbagaian latar belakang barisan kepimpinan yang dipilih daripada peringkat tertinggi sehingga ke bahagian mahupun cawangan.

“Tidak kurang juga muka-muka baharu telah pun terpilih di kalangan ketua-ketua bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri. Jadi, ianya akan memberikan nafas dan juga harapan baharu kepada gerak kerja parti serta Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Imran berharap agar para pemimpin di semua peringkat bersatu dan terus memacu parti ke hadapan serta menyatupadukan orang-orang Melayu.

“Harapan saya sebagai sebahagian kepimpinan UMNO di peringkat negeri dan bahagian, kita mengharapkan kali ini seluruh kepimpinan bergerak dalam satu pasukan untuk membawa UMNO ini terus ke hadapan, kekal relevan dan juga menjadi parti yang menyatupadukan orang-orang Melayu,” katanya lagi.

Pada Februari lalu media melaporkan, enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu bersepakat untuk membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Terdahulu, keenam-enam negeri itu tidak mengadakan PRN serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.