BN, PH Kedah Bentuk Majlis Pimpinan Perpaduan Bagi Menghadapi PRN

ALOR SETAR, 9 April – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hari ini bersetuju membentuk Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata BN dan PH juga bersetuju mewujudkan empat jawatankuasa di bawah majlis tersebut iaitu Jawatankuasa Perundingan Kerusi, Jawatankuasa Pilihan Raya, Jawatankuasa Komunikasi Strategik dan Jawatankuasa Manifesto.

“Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah ini dipengerusikan secara bersama oleh saya sebagai Pengerusi BN Kedah dengan Datuk Mahfuz Omar sebagai Pengerusi PH Kedah.

“Setiap jawatankuasa itu juga dipengerusikan secara bersama pimpinan lain daripada kedua-dua gabungan BN dan PH serta akan ada ahli-ahli yang lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BN dan PH di Bangunan Tunku di sini hari ini.

Mahdzir berkata BN dan PH juga bersetuju untuk mengadakan perbincangan meja bulat antara semua pimpinan kedua-dua gabungan itu pada 17 April ini yang bertujuan mengukuhkan kerjasama dan perpaduan bagi menghadapi PRN.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi antara BN dan PH bagi menghadapi PRN itu, Mahdzir berkata perbincangan antara kedua-dua gabungan itu akan diteruskan berdasarkan prinsip atau kerangka yang telah ditetapkan.

“Untuk mengukuhkan apa yang kita buat ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ada jadual datang ke Kedah, jadi dalam bulan Ramadan ini beliau akan datang berbuka puasa di Kedah dan selepas Aidilfitri nanti ada majlis di Kedah, maknanya beliau beri komitmen untuk Kedah juga,” katanya.

Sementara itu, Mahfuz berkata satu konvensyen perpaduan akan diadakan pada 20 Mei ini yang akan menentukan gerak kerja jentera parti masing-masing supaya rakyat dapat didekati secara berkesan.

“Saya ingat selepas kita buat konvensyen ini, kita boleh buat sasaran berapa kerusi yang kita sasar menang… Insya-Allah, saya sangat yakin perpaduan dapat mengambil alih (kerajaan negeri), Kedah MADANI akan menyusuli Malaysia MADANI,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.