UMNO Bahagian Kota Belud Lakukan Transformasi Untuk Kekal Relevan – Azuwan

KOTA BELUD, 8 April – UMNO Bahagian Kota Belud akan melakukan transformasi yang diperlukan untuk kekal relevan dan bergerak berdasarkan kehendak ahli di peringkat akar umbi.

Ketua Bahagiannya, Azuwan Marjan Norjan berkata, pihaknya akan melaksanakan penambahbaikan dalam pendekatan dan strategi baharu bagi mendekati rakyat serta memperkasakan gerak kerja parti.

“Kita cuba terapkan budaya menggali ke dalam bagi merapatkan jurang hubungan dan komunikasi memahami serta menangani masalah rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Iftar Ramadan anjuran UMNO Bahagian Kota Belud di Masjid Imam Ullah Al Haj Taun Gusi Batu 4, di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut Imam Masjid Abbad Makkah Imam Sheikh Al-Hafiz Mohammad Sharif Mohammad menjadi tetamu undangan khas.

Menurut Azuwan lagi UMNO bahagian itu akan terus bergerak lebih maju ke depan dan tidak terikat dengan pendekatan yang bakal mewujudkan jurang antara ahlinya.

“Tidak perlu terlalu protokol atau ada kekangan antara pemimpin bahagian dengan pemimpin dan ahli akar umbi, hubungan secara langsung perlu dilakukan bagi mendengar apa juga keluh kesah mereka,” katanya lagi.

Menurut Azuwan beberapa idea baharu dan segar ini akan turut dibincangkan untuk dilaksanakan selain memutuskan lantikan pegawai-pegawai baharu dalam mesyuarat pertama jawatankuasa UMNO Bahagian Kota Belud yang akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Ketika diminta mengulas kepimpinan yang dipilih oleh para perwakilan dalam mesyuarat persidangan UMNO Bahagian Kota Belud bulan lepas, Azuwan berkata gandingan antara muka lama dan muka baharu ini mewakili kehendak serta terjemahan hasrat majoriti ahli UMNO bahagian Kota Belud.

“Saya yakin kolaborasi ini akan dapat membentuk satu pasukan yang mantap untuk memperkasakan lagi UMNO bahagian ini dan yang penting konsep kerja berpasukan perlu menjadi amalan dalam setiap langkah serta program-program dianjurkan oleh UMNO bahagian ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.