Pembaharuan UMNO Dari Pemilihan Bukti Manifestasi Suara Para Perwakilan

KUALA LUMPUR, 8 April – Pemilihan UMNO 2023/2026 lalu telah membuktikan bahawa para perwakilan tidak sekadar mengikut telunjuk pemimpin bahkan menjadikan pengundian sebagai manifestasi suara mereka.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, pemilihan penggal ini memperlihatkan ramai anak muda menawarkan diri di pelbagai jawatan bagi mencuba nasib dalam kepimpinan parti.

“Pemilihan penggal ini memperlihatkan ramai anak muda menawarkan diri bukan sahaja sebagai exco, bahkan mencuba nasib dalam kepimpinan parti arus perdana di peringkat bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Demokrasi yang dipamerkan wajar dilihat dari dua perspektif iaitu bukan sahaja dari segi keputusan sama ada menang atau kalahnya calon wajah baharu, tetapi juga tingkah laku pengundian para perwakilan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Anis Anwar, taburan undi para perwakilan kepada calon-calon yang bertanding pada musim pemilihan ini turut menunjukkan polar kompetitif.

“Selain kadar turun mengundi perwakilan memuaskan, taburan undi kepada calon-calon yang bertanding baik kategori exco, MKT mahupun bahagian menunjukkan polar kompetitif.

“Ini menunjukkan perwakilan tidak lagi dilabel sebagai mengikut telunjuk pemimpin, tetapi mampu menjadikan medan pengundian sebagai manifestasi suara dan aspirasi mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut beranggapan bahawa barisan kepimpinan yang dibentuk dengan gabungan wajah baharu dan lama bakal memacu UMNO ke arah pendekatan lebih segar.

“Barisan kepimpinan yang menang bagi penggal 2023/2026 merupakan sebuah kombinasi suara baharu dan pemimpin berpengalaman.

“Keunikan ini wajar dijadikan kekuatan oleh UMNO mengadaptasi pendekatan yang lebih segar dengan berpandukan pengalaman ‘otai lama’.

“Sinergi yang harmoni ini jika berjaya diwujudkan, matlamat dikongsikan untuk memperkuatkan parti akan menempa jalan ke arah masa depan yang lebih cerah,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit