Solidariti Pemuda UMNO Tidak Pernah Pudar Bersama Masyarakat Palestin – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 7 April – Pemuda UMNO hari ini menyatakan bantahan terhadap kekejaman rejim Israel serta bersolidariti bersama masyarakat Palestin yang terus ditindas termasuklah senario terkini di bulan Ramadan apabila tentera Israel menyerang Masjid Al-Aqsa selain terus meningkatkan serangannya di beberapa lokasi.

Hampir 1,000 anggota pergerakan itu serta umat Islam lain bersolidariti di pekarangan Masjid Kampung Baru, di sini, selepas menunaikan solat Jumaat dengan laungan ‘Hidup Palestin, Hancur Zionis’ bergema dan bendera Israel turut dibakar sebagai simbolik kepada bantahan terhadap kekejaman rejim berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh menerusi ucapan ringkas berkata, dalam suasana umat Islam seluruh dunia menyambut Ramadan dan melaksanakan amal ibadat, penduduk di Palestin dihujani dengan insiden yang menyayat hati.

“Kita ingin menyatakan bahawa isu Palestin bukanlah isu mereka sahaja tetapi isu bersama dan seluruh umat Islam yang lain. Kita tidak mampu untuk berpeluk tubuh sahaja… dan hari ini kita nyatakan bantahan sebagai mesej kepada rejim Israel bahawa mereka menyakiti umat Islam di Palestin sama seperti menyakiti kita di Malaysia serta seluruh dunia terutama umat Islam.

“Ini juga sebagai mesj kepada masyarakat di Palestin bahawa mereka tidak keseorangan dan hari ini kita menunjukkan solidariti kita bersama mereka,” katanya.

Turut serta Naib Ketua Pemuda UMNO, Hairi Md Shah serta barisan Exco dan kepimpinan Pemuda UMNO Yang lain.

Sementara itu pada sidang medianya, Dr Akmal menyatakan Pemuda UMNO juga akan menghantar surat rasmi kepada Kementerian Luar Negeri untuk menyatakan bantahan di peringkat OIC dan juga PBB serta menggesa seluruh negara-negara Islam bersatu padu menentang keganasan dan kezaliman yang dilakukan oleh rejim zionis kepada masyarakat Palestin.

“Kita akan hantar surat bantahan dalam tempoh terdekat dan mungkin pada Isnin ini kepada Kementerian Luar Negeri. Cukup-cukuplah dan tidak habis-habis rejim Zionis menyakiti saudara kita di Palestin. Maka ini isyarat yang jelas dan kita masyarakat di Malaysia tidak akan berdiam diri untuk  terus melihat saudara kita dizalimi,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.